WENGER fasih bertutur bahasa Jerman. — FOTO AFP
WENGER fasih bertutur bahasa Jerman. — FOTO AFP
AFP

ARSENE Wenger dilaporkan berunding dengan Bayern Munich untuk menjadi ketua jurulatih baharu mereka manakala seorang lagi calon Ralf Rangnick dikhabarkan tidak berminat.

Wenger, 70, memberikan jawapan bersifat mengelak apabila stesen penyiar beIn Sports bertanyakannya mengenai bekerja di Bayern, yang memecat Niko Kovac Ahad lalu selepas dibelasah Eintracht Frankfurt 5-1 di laman lawan.

Menurut akhbar harian Jerman, Bild, rundingan berlangsung antara Wenger dan pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge dalam usaha kelab itu mencari pengganti Kovac.

Wenger, yang fasih bertutur bahasa Jerman, melatih Arsenal dari Oktober 1996 hingga Mei 2018 dan berkata, beliau rindu sesetengah aspek kejurulatihan.

FLICK mengendalikan pasukan ketika aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. — FOTO EPA
FLICK mengendalikan pasukan ketika aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. — FOTO EPA

Ketika Wenger menikmati masanya di luar kancah bola sepak, kepuasan memenangi perlawanan dan menyediakan pemain “sesuatu yang anda rindu, sudah tentu,” kata warga Perancis itu.

Sementara itu, Rangnick, kini ketua sukan dan pembangunan di Red Bull dan bekas pengarah sukan di kelab Bundesliga, RB Leipzig, dilaporkan antara nama terbaharu menolak tawaran Bayern.

Rangnick menyertai jurulatih Ajax, Erik ten Hag dan bos Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel dengan menegaskan mereka tidak akan meninggalkan tugas semasa mereka musim ini.

Bekas penolong jurulatih Jerman, Hansi Flick mengambil alih sebagai jurulatih sementara mengendalikan pasukan ketika menang 2-0 ke atas Olympiakos pada aksi Liga Juara-Juara di Munich, awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 12:57 PM