PONCHARAL (tengah) kagum dengan peningkatan Hafizh (kiri). FOTO/ MONSTER YAMAHA TECH3
PONCHARAL (tengah) kagum dengan peningkatan Hafizh (kiri). FOTO/ MONSTER YAMAHA TECH3
Fadhli Ishak

PRINSIPAL pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal sekali lagi menegaskan beliau langsung tidak menyesal mengikat Hafizh Syahrin Abdullah untuk berlumba dalam saingan MotoGP musim ini.

Hafizh yang bergelut ketika aksi kelayakan beraksi cemerlang mengatasi kelemahan itu pada perlumbaan GP Argentina, Ahad lalu dan berjaya menamatkan saingan di kedudukan kesembilan biarpun bermula dari petak ke-23.

Poncharal berkata, dia amat berbangga dengan apa yang dipamerkan Hafizh di sirkit Termas de Rio Hondo yang menyaksikan dia muncul sebagai pelumba baharu terbaik.

“Ia minggu yang menakjubkan! Ia sangat sukar dan terlalu susah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika kami di sana,” kata Poncharal.

“Tahniah kepada Hafizh Syahrin yang menempuh hujung minggu yang luar biasa tanpa sebarang kesilapan. Dia agak gementar ketika pusingan kelayakan, jadi dia tidak dapat mempamerkan apa yang diharapkan.

“Namun, bermula dari petak belakang sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, bersaing dengan mereka yang jauh berpengalaman, saya rasa keputusan yang diraih ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinannya.

“Saya sangat bangga dengannya dan gembira kerana memilihnya untuk menempuh musim ini. Apa yang dia tunjukkan membuktikan mimpi mampu menjadi kenyataan.”

Biarpun mendapat bantahan daripada penaja utama, Poncharal tetap dengan keputusannya untuk mengikat Hafizh bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Jonas Folger yang mempunyai masalah kesihatan.

Hafizh menjadi pelumba pertama dari Asia Tenggara yang bersaing dalam kelas utama itu.

Selepas dua pusingan, Hafizh kini berkedudukan tempat ke-13 keseluruhan dalam senarai MotoGP dengan sembilan mata.

Pusingan seterusnya akan berlangsung di Litar Americas, Austin Texas pada 20 hingga 22 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 5:39 PM