HAFIZH digesa segera sesuaikan diri dengan semua litar dalam kalendar MotoGP. FOTO/HAFIZH
HAFIZH digesa segera sesuaikan diri dengan semua litar dalam kalendar MotoGP. FOTO/HAFIZH
Fadhli Ishak


HAFIZH Syahrin Abdullah perlu memburu penamat terbaik di Grand Prix (GP) Jerman hujung minggu ini sebelum saingan berehat tiga minggu sempena cuti musim panas.

Litar Sachsenring menandakan berakhirnya separuh musim saingan MotoGP dan pelumba Monster Yamaha Tech3 itu perlu memastikan dia meningkatkan kedudukannya sekiranya ingin memburu gelaran pelumba baharu terbaik musim ini.

Hafizh kini berkedudukan tempat kedua dalam senarai pelumba baharu, dua mata di belakang Franco Morbidelli, namun gagal meraih sebarang mata pada dua perlumbaan terakhir.

Dia terbabit dengan kemalangan di Catalunya dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 di Assen dua minggu lalu.

Pengurus pasukan, Tech3 Herve Poncharal menjelaskan Hafizh perlu segera menyesuaikan diri di semua litar dalam kalendar MotoGP.

“Hafizh berdepan saingan sengit dalam perebutan gelaran pelumba baharu terbaik (bersama Morbidelli). Keputusan tidak begitu memberangsangkan di Assen dan saya tidak rasa Sachsenring akan memihak kepadanya (ketika beraksi dalam Moto2),” kata Poncharal.

“Dia menghabiskan beberapa hari di bengkel (Tech3) di mana saya memaklumkan kepadanya jika dia mahu menjadi pelumba yang hebat dia perlu menjadi pantas di mana saja. Saya maklumkan kepadanya supaya menikmati perlumbaan dan itulah cara untuk mendapatkan keputusan yang baik.

“Semoga Hafizh boleh melakukan sesuatu dan mendapatkan beberapa mata mengatasi Morbidelli di Jerman. Kemudian kami semua akan bercuti untuk beberapa hari sebelum memasuki pusingan kedua musim ini.”

Morbidelli tidak beraksi di Assen kerana kecederaan yang dialami ketika sesi latihan namun dia dijangka akan kembali menghangatkan saingan di Sachsenring tetapi perlu lulus ujian perubatan terlebih dulu.

Dalam saingan Moto3, Adam Norrodin yang hanya meraih mata dalam tiga perlumbaan musim ini, bertekad untuk mempamerkan peningkatan di Jerman.

“Saya menghabiskan minggu lalu bekerjasama dan berlatih bersama ketua krew di Perancis dan saya berasa lebih bersedia untuk menempuh hujung minggu ini,” kata pelumba PETRONAS Sprinta Racing yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-21 di Assen.

“Banyak perkara yang kami bincangkan dan ia membantu saya memahami kesilapan yang saya buat, saya belajar daripada mereka dan apa yang boleh dilakukan untuk maju ke depan. Selepas perlumbaan terakhir di Assen saya sangat kecewa, jadi saya mahu melakukan yang lebih baik di Sachsenring.”

Pelumba pasukan SIC Racing, Niki Tuuli, turut terlepas peluang beraksi dalam saingan Moto2 di Assen berikutan cedera pada tangan kanan ketika sesi kelayakan, kini dibenarkan beraksi di Sachsenring oleh doktor peribadi namun seperti Morbidelli perlu menjalani ujian perubatan di litar itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 9:00 PM