PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah dipuji prinsipal pasukan Tech3, Herve Poncharal. FOTO Monster Yamaha Tech3
PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah dipuji prinsipal pasukan Tech3, Herve Poncharal. FOTO Monster Yamaha Tech3
Fadhli Ishak


SAINGAN MotoGP kini sudah memasuki separuh musim dengan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah setakat ini tidak mengecewakan apabila muncul pelumba muka baharu terbaik selepas menamatkan saingan Grand Prix (GP) Jerman di kedudukan ke-11. 

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu bermula baik musim ini apabila meraih mata saingan pembuka tirai di Qatar dan kemudian menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 terbaik pada pusingan seterusnya di Argentina (kesembilan). 

Bagaimanapun, dia terjatuh di Austin dan Catalunya serta gagal untuk meraih mata di Assen serta Jerez. 

Hafizh kini menduduki tangga ke-16 kedudukan pelumba MotoGP dengan meraih 22 mata sekali gus mendahului pelumba muka baharu yang lain. 

Prinsipal pasukan Tech3, Herve Poncharal percaya prestasi Hafizh di Litar Sachsenring semalam membuktikan anak buahnya itu semakin matang. 

"Hafizh menunjukkan semangat juang yang tinggi serta bijak. Dia menduduki tempat kesembilan di Barcelona beberapa pusingan sebelum tamat perlumbaan tetapi melakukan kesilapan.  

"Perlumbaan di Sachsenring menunjukkan Hafizh mempelajari kesilapan lalu. 

"Dia bersaing sengit dengan beberapa pelumba ternama dengan yang terakhir adalah Andrea Iannone yang beraksi bersama jentera pengeluar (Suzuki) selain pernah memenangi perlumbaan. Ini adalah perkara yang amat kami banggakan," katanya. 

Saingan seterusnya akan bersambung di GP Republik Czech pada 5 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 6:34 PM