HERVE PONCHARAL
HERVE PONCHARAL
Fadhli Ishak


PRINSIPAL pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal berharap pelumbanya, Hafizh Syahrin Abdullah kembali mengisi kelompok 10 terbaik di Grand Prix (GP) Belanda, minggu ini.

Poncharal berkata adalah sesuatu yang mengecewakan apabila Hafizh terkeluar daripada perlumbaan di Catalunya, awal bulan ini selepas tampil dengan prestasi baik tetapi menjelaskan insiden seperti itu memang dijangka daripada pelumba baharu.

Sekali pun Hafizh mengakui Litar Assen kurang digemarinya, Poncharal yakin anak buahnya itu akan menikmati perlumbaan menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 seperti rakan sepasukannya, Johann Zarco yang menempah petak pertama ketika sesi kelayakan, musim lalu.

“Assen adalah perlumbaan yang amat istimewa dan penting. Terutama ia adalah perlumbaan pertama di bahagian utara Eropah (untuk musim ini),” kata Poncharal.

“Litar ini mempunyai susun atur yang cantik dan sering menawarkan perlumbaan yang mengujakan. Semua orang tahu betapa banyaknya insiden yang berlaku di selekoh terakhir yang menjadi penanda buat Assen. 

“Ia adalah venue yang menarik. Hafizh mengharungi perlumbaan yang cemerlang di Catalunya sehingga berbaki lima pusingan, dan ia masih lagi berada di minda saya.

“Saya tidak dapat memikirkan betapa hebatnya jika dia dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan, tetapi ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran sebagai pelumba baharu.

“Dia (Hafizh) memberitahu saya yang dia tidak begitu menggemari Assen (sebelum ini) bersama jentera Moto2 tetapi saya berkata kepadanya situasi itu sama seperti Johann tetapi menggunakan jentera Yamaha M1 dia menyukainya.

“Mari kita lihat dari sudut positif dan berharap kita melihat Hafizh ke litar seperti dia berada di Catalunya. Kami berharap dia dapat kekal di kelompok 10 terbaik yang juga menjadi sasarannya.”

Hafizh berjaya menempatkan diri di kedudukan 10 terbaik MotoGP pada perlumbaan pusingan dua di Argentina tetapi selepas itu, dia terjatuh dua kali dan menamatkan perlumbaan di Jerez di tangga ke-16 dan ke-12 di Le Mans dan Mugello.

Tech3 baru-baru memberikan Hafizh kontrak lanjutan selama setahun yang menyaksikannya kekal bersama pasukan itu apabila mereka mengubah ke jentera KTM, musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 10:08 PM