HAFIZH berjaya duduki petak ke-16 untuk perlumbaan GP Amerika. -Foto Agensi
HAFIZH berjaya duduki petak ke-16 untuk perlumbaan GP Amerika. -Foto Agensi
Fadhli Ishak

HAFIZH Syahrin Abdullah mempamerkan peningkatan dalam sesi kelayakan berbanding di Argentina apabila berjaya menyambar petak ke-16 pada perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika awal pagi esok.

Pelumba MotoGP negara itu mencatat masa 2 minit 5.873 saat dalam sesi kelayakan pertama, namun mengakui dia mampu mencatat masa lebih pantas sekiranya dapat memanfaatkan sepenuhnya strategi yang ditetapkan.

Hafizh muncul pelumba baharu kedua terpantas pada sesi kelayakan selepas pelumba dari Jepun, Takaaki Nakagami.

“Saya rasa selesa dengan jentera pada sesi kelayakan pertama. Tapi sejujurnya kecewa kerana melakukan kesilapan strategi dengan cuba mengejar kelompok pelumba di depan.

“Pada pusingan terakhir, saya nampak bendera sudah pun dikibarkan. Jika tidak, saya mampu mencatat masa lebih baik

“Apapun, saya tetap gembira dengan keputusan ini. Sekarang saya sudah bersedia untuk turun beraksi pada perlumbaan sebenar. Saya hilang cengkaman apabila menggunakan tayar yang sudah digunakan. Sama-sama kita nantikan perlumbaan esok,” katanya.

Di Argentina, Hafizh sekadar bermula di petak ke-23 tetapi masih mampu menamatkan saingan di kedudukan kesembilan, penamat 10 terbaik pertama untuknya di saingan MotoGP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 11:46 AM