Dybala (dua dari kiri) jaring gol pertama untuk Juve. -Foto EPA
Dybala (dua dari kiri) jaring gol pertama untuk Juve. -Foto EPA

ROME: Paulo Dybala meledak dua gol untuk membantu Juventus kembali ke puncak carta Serie A dengan kemenangan 2-0 ke atas Udinese awal pagi tadi, ketika pencabar kejuaraan Napoli diikat tanpa jaringan di Inter Milan.

Penyerang Argentina, Dybala meneruskan kecemerlangan susulan menjaringkan gol kemenangan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Tottenham pada pertengahan minggu lalu dengan dua gol ketika anak buah Massimiliano Allegri mendahului satu mata di depan Napoli selain beraksi kurang satu perlawanan.

Gonzalo Higuain terlepas penalti pada babak pertama namun Juve melangkah setapak lagi dalam usaha meraih kejuaraan liga ketujuh berturut-turut.

“Selepas drama malam Rabu (menentang Tottenham), ada risiko kami berdepan perlawanan malam ini dengan terlalu relaks, tapi sebaliknya kami memperagakan karakter dan pengalaman untuk memastikan tiga mata,” kata Dybala.

“Saya gembira dapat membantu pasukan dengan gol saya. Kami berjaya menekan musuh kami dan terus melangkah ke hadapan. Ia kini bergantung kepada kami.”

Napoli kelihatan mampu mengembalikan kelebihan satu mata dan bangkit selepas menyaksikan rentetan 10 kemenangan berakhir hujung minggu lalu berikutan kekalahan 2-4 kepada AS Roma di laman sendiri, namun gagal mencari jalan untuk mengatasi Inter.

Di Turin, Dybala yang berusia 24 tahun meneruskan persembahan baiknya apabila melencongkan masuk sepakan percuma menakjubkan ke penjuru gol untuk membantu tuan rumah mendahului selepas 20 minit.

Higuain terlepas peluang untuk menggandakan kelebihan sebelum rehat apabila penjaga gol Udinese, Albano Bizzarri menumbuk keluar sepakan penaltinya.

Namun gandingan berbisa Higuain dan Dybala, yang sudah menjaringkan 42 gol antara keduanya dalam semua pertandingan musim ini, sekali lagi bertindak hebat dengan Dybala menyempurnakan gol keempatnya dalam tiga perlawanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 7:51 AM