AFP

Milan: Penyandang juara Juventus sudah pasti berada di puncak Serie A, Krismas ini selepas menewaskan Cagliari, 3-1 awal pagi semalam bagi perlawanan liga terakhir tahun ini.

Jaringan awal Carlos Tevez dan Arturo Vidal serta gol Fernando Llorente pada babak kedua membolehkan Juve mendahului selesa sebelum Luca Rossettini membalas satu gol buat tuan rumah.

Ketika Cagliari kekal di zon penyingkiran selepas tidak menang lapan perlawanan berturut-turut, Juve kini empat mata di depan pencabar terdekat AS Roma yang menunggu kehadiran AC Milan bagi perlawanan terakhir tahun ini, awal pagi esok.

Perlawanan itu dan kemenangan 2-0 Napoli ke atas Parma dipercepatkan kerana juara bertahan Juventus dan juara Piala Itali kendalian Rafael Benitez itu bertemu di Qatar, Isnin ini bagi merebut Piala Super Itali.

Juve yang dibimbing Massimiliano Allegri berdepan perlawanan itu dengan kemenangan rutin di Sardinia susulan dua seri berturut-turut menentang Fiorentina dan Sampdoria.

“Saya bertuah melatih kelompok pemain yang dahagakan kemenangan dan bertindak menakjubkan. Saya amat yakin pasukan ini juga boleh bertindak baik di Eropah,” kata Allegri.

Napoli melonjak ke tangga ketiga selepas menewaskan kelab tercorot Parma, 2-0.

Penyerang Colombia, Duvan Zapata membuka tirai jaringan pada minit ke-19 bagi gol keempatnya musim ini dengan bintang Belgium, Dries Mertens menambah gol kedua menerusi sepakan penalti selepas 30 minit.

Gonzalo Higuain berjaya menyumbat gol buat Napoli pada masa kecederaan namun percubaannya itu dibatalkan kerana ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:07 AM