DYBALA (kanan) ledak gol pembukaan perlawanan.
DYBALA (kanan) ledak gol pembukaan perlawanan.

Milan: Paulo Dybala meledak dua gol manakala Alex Sandro menghasilkan gol sulungnya buat Juventus bagi membantu kemenangan 4-0 ke atas Udinese sekali gus merapatkan jurang kepada dua mata dengan pendahulu Serie A Napoli.

Napoli yang memburu gelaran buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun, menduduki tangga teratas Serie A hasil kemenangan 3-1 ke atas Sassuolo apabila penyerang Gonzalo Higuain melakar 20 jaringan sepanjang 20 perlawanan.

Juve berada di landasan terbaik untuk menghambat Napoli menerusi kemenangan di Stadium Friuli yang memberikan skuad juara bertahan bimbingan Massimiliano Allegri itu kemenangan ke-10 berturut-turut.

Namun, Allegri tegas menyatakan Napoli pasukan yang perlu ditundukkan jika mahu menjulang kejuaraan musim ini. Beliau berkata: “Napoli sedang melakar catatan menarik dan justeru, mereka adalah pilihan walaupun masih terdapat lima pasukan yang berpeluang menang.”

Pemain antarabangsa Argentina Dybala memecahkan kebuntuan pada minit ke-15 menerusi sepakan percuma yang gagal diselamatkan penjaga gol Udinese Orestis Karnezis.

Sami Khedira menghukum kesilapan pertahanan Udinese apabila mudah menjaringkan gol, tiga minit kemudian.

Juventus kemudiannya mendahului 3-0 dalam tempoh 26 minit apabila Dybala mengatasi Karnezis menerusi penalti selepas Larangeira Danilo dilayangkan kad merah kerana mengasari penyerang Croatia Mario Mandzukic.

Ia jaringan kesembilan pemain Argentina itu musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 7:02 AM