HIGUAIN (kiri) sandaran utama Napoli benam Sassuolo.
HIGUAIN (kiri) sandaran utama Napoli benam Sassuolo.

Milan: Napoli yang diketuai peledak utama, Gonzalo Higuain dan Juventus sedang mengumpul kekuatan manakala Inter Milan dan Fiorentina kelihatan semakin hambar apabila saingan Serie A memasuki babak kedua musim ini.

AS Roma pula mempertaruhkan jurulatih baru dalam usaha memperbaiki kempen musim ini.

Babak pertama Serie A bakal tamat esok dengan tujuh mata memisahkan pendahulu Napoli (41) berbanding pasukan di tangga kelima Roma dan Juventus serta Inter Milan (39) dengan Fiorentina (38) berada di antara mereka.

Inter, Roma, Fiorentina dan Napoli semuanya berdepan laluan mudah, tetapi Napoli yang akan melayan kunjungan Sassuolo malam ini, berdepan saingan sukar sambil Juventus semakin sukar digugat.

Selepas gagal menang tiga perlawanan awal musim, Napoli bangkit mencatat 11 kemenangan sepanjang 14 aksi dan mengumpul jaringan terbanyak dengan 38 gol, 18 daripadanya disumbangkan Higuain.

Juventus turut gagal menang tiga perlawanan awal, tetapi bangkit merakam sembilan kemenangan berturut-turut dan dijangka terus mengumpul keputusan positif apabila berdepan Udinese esok.

Paulo Dybala yang dibeli awal musim ini bagi menggantikan Carlos Tevez, sudah semakin serasi dan pembeliannya dari Palermo dianggap berbaloi buat Juventus.

“Sejak tiga bulan lalu, kami sudah menemui semula sentuhan yang sebelum ini membuatkan Juventus digeruni lawan,” kata pertahanan Leonardo Bonucci sambil menyifatkan kekalahan 0-1 di tangan Sassuolo pada 28 Oktober sebagai titik perubahan pasukan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 6:44 AM