MOHAMAD (kanan) sedih dengan prestasi skuad negara yang makin merosot.
MOHAMAD (kanan) sedih dengan prestasi skuad negara yang makin merosot.
Zulfaizan Mansor


BEKAS jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar mengakui sedih melihat kedudukan semasa skuad Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Apa tidaknya, skuad kebangsaan mengulangi pencapaian terburuk selepas berada di kedudukan ke-174 dunia dalam ranking terbaru FIFA yang dikeluarkan hari ini.

Mohamad menyifatkan kedudukan itu tidak sepadan dengan bola sepak Malaysia yang sudah memasuki era profesional dengan pemain dan jurulatih bekerja sepenuh masa dalam sukan itu.

“Memang (kedudukan) terburuk, makin lama makin teruk (bola sepak) kita. Takkan kita nak tengok bola sepak kita terus merudum.

“Kita sedih tengok pasukan negara macam ini. Bukan apa, macam sekarang ini kita sudah masuk era profesional berbanding kami dulu amatur.

“Kenapa sekarang pemain dan jurulatih yang berkerja sepenuh masa dalam sukan ini tidak boleh mendapat keputusan lebih baik sedangkan semua kemudahan lengkap dan pemain juga dibayar dengan gaji yang cukup tinggi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Malaysia jatuh empat anak tangga berbanding ke-170 bulan lalu selepas tewas dua kali berturut-turut dengan jaringan 4-1 kepada Korea Utara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 pada 10 dan 13 November lalu.

Skuad kendalian Nelo Vingada itu berkongsi kedudukan di tangga ke-174 bersama Kosovo dan St Lucia dengan mengumpul 97 mata dan meninggalkan Malaysia di kedudukan ke-35 dalam ranking negara Asia.

Ia juga ranking terburuk skuad Harimau Malaya sejak Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 25 Mac lalu dengan Vingada juga masih belum meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan.

Selain itu, Mohamad yang juga bekas penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980 berharap semua pihak terutama FAM, persatuan bola sepak negeri dan kelab perlu ‘membuka mata’ seluas-luasnya untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara.

“Buatlah sesuatu terutama dalam melahirkan bakat baharu dalam bola sepak kerana sudah terbukti kita tidak boleh lagi mengharapkan sepenuhnya kepada pemain lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 8:16 PM