Hairuddin gesa pihak bertanggungjawab mengkaji dan melihat permasalahan menyumbang kemerosotan kualiti industri bola sepak negara. FOTO FAIL NSTP
Hairuddin gesa pihak bertanggungjawab mengkaji dan melihat permasalahan menyumbang kemerosotan kualiti industri bola sepak negara. FOTO FAIL NSTP

Melaka: Semua pihak perlu mencari penyelesaian bersama untuk meningkat ranking kurang memberangsangkan skuad Harimau Malaysia, kata Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar.

Beliau berkata tindakan pihak tertentu yang hanya pandai mengemukakan komen tanpa mencari jalan penyelesaian amat dikesali dan perlu dihentikan dalam usaha meningkatkan prestasi dan mutu permainan skuad negara.

Katanya amat menghairankan apabila prestasi dan ranking Harimau Malaysia merosot tetapi pada masa sama kelab Liga Malaysia seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) menunjukkan prestasi amat baik terutama ketika menjulang Piala AFC tahun lalu.

"Memang kita sedar, kita akui kemerosotan ranking kita. Kemerosotan pasukan kebangsaan kita sekarang ini makin jatuh tetapi mereka bertanggungjawab sepatutnya mencari idea atau memikirkan kaedah terbaik membangunkan semula bola sepak," katanya semalam.

Beliau merupakan pemain Terengganu dan bekas pemain kebangsaan ditemui selepas perlawanan antara Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkesudahan PDRM menang 3-1.

Harimau Malaysia dilapor berada pada ranking ke-174 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebaris dengan pasukan Samoa (170), Timor Leste (175), Bangladesh (177) dan Nepal (179).

Hairuddin berkata sudah tiba masanya penumpuan serta fokus diletakkan pada sukan bola sepak dan tidak hanya melihat kepada sukan berprestasi tinggi yang sudah meletakkan Malaysia di ranking tertinggi dunia seperti badminton.

"Pihak bertanggungjawab dalam industri bola sepak negara perlu mengkaji dan melihat permasalahan yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti bola sepak negara," katanya. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 3:32 PM