KAHIRUL (tengah) sedia tabur bakti jika dipanggil Vingada.
KAHIRUL (tengah) sedia tabur bakti jika dipanggil Vingada.
Rodly Fadly


PRESTASI buruk skuad bola sepak kebangsaan hingga merudum ke tangga ke-174 dunia tidak memadamkan semangat kapten Kedah, Khairul Helmi Johari untuk terus memberi khidmat selagi kudratnya diperlukan.

Malah keputusan jurulatih Nelo Vingada mengetepikannya bagi tugasan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Buriram, Thailand, baru-baru ini bukanlah penutup kepada karier Khairul di peringkat antarabangsa.

“Saya belum terfikir untuk bersara daripada mewakili pasukan kebangsaan. Jika masih diberi peluang serta kepercayaan, saya bersedia bila-bila masa untuk menyahutnya.

“Walaupun digugurkan baru-baru ini, saya tidak anggap ia sebagai isyarat untuk saya gantung but. Malah, saya terimanya sebagai cabaran untuk meningkatkan prestasi supaya kembali dipilih.

“Apatah lagi dengan kedudukan skuad kebangsaan sekarang yang dikritik teruk kerana menduduki ranking ke-174, ia memberi motivasi kepada saya untuk membantu meningkatkan kembali kedudukan itu,” katanya.

Khairul, 29, atau lebih mesra disapa Keon, yakin dia masih mampu memberi sumbangan meskipun ramai pengkritik menganggap sudah sampai masanya Harimau Malaya dibarisi pemain muda.

“Idea menyerapkan pemain muda ke dalam pasukan kebangsaan memang bagus untuk jangka masa panjang. Namun, saya berpendapat, pemain berpengalaman masih diperlukan untuk menyeimbangkan kemampuan pasukan.

“Memang kita mempunyai pemain muda yang berpotensi tapi mereka masih memerlukan sokongan pemain senior untuk beraksi di peringkat tertinggi.

“Kekalahan kepada Korea Utara di Thailand, baru-baru ini menunjukkan pemain muda belum bersedia beraksi di peringkat tertinggi. Bukan mereka tidak bagus, cuma kurang pengalaman,” ujar Khairul.

Pemain pertahanan itu yakin, jika kombinasi pemain lama dan baru dikekalkan serta Vingada terus diberi kepercayaan, keputusan positif akan dapat digapai.

“Kena sabar sikit, mungkin kita belum layak untuk mencabar di peringkat Asia tapi Piala AFF tahun depan adalah pentas terbaik untuk memulihkan semula imej bola sepak negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 1:48 PM