Aziman Rosdi

Bukit Jalil: Tugas pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee (gambar) untuk meletakkan Malaysia berada di kelompok 140 ranking dunia dalam tempoh dua tahun tampak sukar selepas menyaksikan pasukan negara kini merosot ke ranking 174, kedudukan terburuk dalam sejarah.

Berdasarkan ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) semalam, Malaysia hanya mengumpul 119 mata sekali gus jatuh lapan anak tangga berbanding 166 sebelum ini selepas mencatat rekod ranking paling buruk 171 pada Februari lalu.

Kedudukan terbaru itu seakan-akan sudah dijangka selepas skuad kebangsaan gagal meraih banyak mata akibat tumpas 0-2 kepada Arab Saudi pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 serta seri 0-0 dengan pasukan kerdil Macau pada aksi persahabatan antarabangsa bulan lalu.

Kim Swee yang diletakkan sasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memperbaiki ranking negara dalam kelompok 140 dunia sebaik dilantik jurulatih kebangsaan Januari lalu berkata, anak buahnya perlu menggunakan kesempatan terbaik untuk mengutip seberapa banyak mata dalam aksi persahabatan dan play-off Kelayakan Piala Asia 2019 Jun depan.

“Kita sudah rancang banyak perlawanan dan pemain perlu ambil peluang itu jika tidak kita tak akan meningkat. Selain perlawanan persahabatan dan play-off, kita juga ada kejohanan Piala AFF.

“Jika layak ke peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia, kita akan banyak lagi perlawanan pada 2017. Jadi untuk dapatkan ranking ke-140 ambil masa agak lama tapi lingkungan 140-150 kemungkinan kita boleh melakukannya jika menang perlawanan kelayakan itu nanti,” katanya ketika ditemui semalam.

Susulan kedudukan ke-174 dunia itu Malaysia kini ketinggalan kepada negara kerdil dalam bola sepak seperti Liechtenstein, Samoa, Cooks Islands, America Samoa dan Bermuda.

Malah dalam kalangan negara rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di belakang Filipina yang melonjak 19 anak tangga ke kedudukan 116 dunia hasil kejayaan menundukkan Korea Utara 3-2 bulan lalu pada pusingan kelayakan diikuti Thailand (119), Vietnam (144), Singapura (148) dan Myanmar (166).

Dalam ranking Asia pula, Malaysia menduduki tangga ke-32 daripada 46 pasukan.

Kedudukan teratas ranking FIFA pula menyaksikan perubahan dengan Argentina merampas tempat Belgium apabila mengumpul 1532 mata, disusuli Chile (3), Colombia (4) dan juara dunia Jerman (5).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 8:42 AM