JACOB (kiri) tekad buru tiga mata.
JACOB (kiri) tekad buru tiga mata.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pengendali MISC-MIFA Jacob Joseph mahu anak buahnya menamatkan rentetan kekalahan apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim II (JDTII) dalam saingan Liga Perdana , Jumaat ini.

Tegasnya, tiga kekalahan berturut-turut dialami juara Piala FAM 2016 itu perlu dihentikan apabila beraksi di laman sendiri - Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Saya menggunakan tempoh yang ada untuk menangani semua kelemahan dan kekurangan pasukan. Jentera serangan masih perlu diberikan perhatian untuk melakukan penyudah yang tajam.

“Saya melihat bahagian ini masih tumpul selepas tiga perlawanan apabila hanya menjaringkan satu gol ketika menentang Terengganu walaupun banyak peluang dan gerakan dicipta,” jelasnya.

Pada masa sama tumpuan memperkemaskan benteng pertahanan turut berada dalam perancangannya dengan kelemahan terserlah apabila melepaskan tiga gol ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kami tidak boleh memandang ringan JDTII. Mereka sudah membuktikan kemampuan dengan menang besar 5-1 ke atas Perlis.

“Justeru, kami perlu berwaspada dan merangka perancangan terbaik untuk menyaingi lawan yang berada pada prestasi terbaik,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 10:33 AM