PEMAIN Sabah, Maxsius Musa (kiri) cuba melepasi pemain PDRM, Amir Saiful pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Likas. FOTO/MALAI ROSMAH TUAH
PEMAIN Sabah, Maxsius Musa (kiri) cuba melepasi pemain PDRM, Amir Saiful pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Likas. FOTO/MALAI ROSMAH TUAH
Ryan Stanley


SABAH meneruskan rentak baik di gelanggang sendiri apabila membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

PRDM lebih dulu mencemaskan pintu gol Sabah pada minit ketujuh menerusi Mohamad Hariz Fazrin, bagaimanapun cubaannya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Robson Rendy Rining dalam keadaan satu lawan satu.

Pada minit ke-16, Maxsius Musa menceriakan lebih 5,000 penyokong Sabah selepas melakukan penyudah dari luar kotak penalti.

Gol itu berpunca daripada pergelutan antara penjaga gol PDRM, Willfred Jabun yang keluar dari kawasannya dengan penyerang tuan rumah, Hector Ramos dan Maxsius mudah menggunakan kesempatan itu untuk menyumbat masuk.

Tuan rumah bertindak garang pada awal babak kedua dan memiliki peluang baik pada minit ke-52 bagaimanapun percubaan Maxsius tersasar walaupun penjaga gol lawan sudah tertewas.

Pada minit ke-67, Heo Jae Nyeong menanduk masuk kencang menerusi sepakan percuma Sabri Sahar untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kemenangan itu bermakna Sabah merampas kedudukan tangga teratas Liga Perdana daripada FELDA United selepas mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Pada perlawanan lain pula MISC-MIFA menewaskan Terengganu FC II (TFCII) 1-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pemain import dari Brazil, Elizeu Batista muncul wira selepas menjaringkan gol pada minit kelapan dan membolehkan skuad kendalian K Devan melakar kemenangan sulung sekaligus mengumpul lima mata selepas seri dua perlawanan awal menentang Marcerra Kuantan FA dan Johor Darul Ta’zim II.

Ia turut membantu mereka melonjak ke tangga ketiga dari tangga kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 11:44 PM