ELMI (tengah) diraikan rakan sepasukannya selepas berjaya memenangi perlumbaan peringkat ke-2 Tour de Selangor 2017 dari Shah Alam ke Dengkil. FOTO/OSMAN ADNAN
ELMI (tengah) diraikan rakan sepasukannya selepas berjaya memenangi perlumbaan peringkat ke-2 Tour de Selangor 2017 dari Shah Alam ke Dengkil. FOTO/OSMAN ADNAN
Azlan Muhammad Zain


HENJUTAN bertenaga hingga ke garisan penamat membantu pelumba PDRM, Mohd Elmi Jumari menjuarai peringkat kedua Tour de Selangor 2017, sebentar tadi.

Pelumba berusia 27 tahun itu berjaya mengatasi pelumba CCN Cycling Team, Projo Waseso yang kelihatan meraikan kejayaan lebih awal apabila mengangkat tangan walaupun belum melintasi garisan penamat.

“Saya berjaya mendahului dia separuh tayar menghampiri garisan penamat, mungkin dia terlalu yakin (meraikan kejayaan lebih awal). Selepas itu dia menoleh saya dan sedar saya berjaya mengatasinya,” kata Elmi.

Anggota polis berpangkat Lans Koperal di Bukit Aman itu mencatat masa tiga jam 10 minit 13 saat untuk menamatkan saingan sejauh 138.2km bermula dari Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan berakhir di Medan Selera Dengkil.

Projo terpaksa akur pada kedudukan kedua manakala Kota Sumiyoshi dari Aisan Racing Team tempat ketiga.

Elmi berkata, kejayaannya menjuarai peringkat itu sangat bermakna kerana ia adalah kejayaan sulungnya selepas bersama PDRM sejak empat tahun lalu.

“Ia satu sejarah. Sudah pasti ia akan membakar semangat untuk terus cemerlang kepada pasukan. Ia turut mengubat kekecewaan gagal menyumbangkan pingat kepada negara dalam acara BMX di Sukan SEA, Ogos lalu,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 6:31 PM