MANCEBO (tengah) menjuarai pusingan pertama, King Lok (kedua, dua dari kiri) dan Felipe (ketiga, dua dari kanan) pada Jelajah Malaysia 2015 di Putrajaya, semalam.
MANCEBO (tengah) menjuarai pusingan pertama, King Lok (kedua, dua dari kiri) dan Felipe (ketiga, dua dari kanan) pada Jelajah Malaysia 2015 di Putrajaya, semalam.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Putrajaya: Juara bertahan Skydive Dubai Pro Cycling Team melaungkan amaran awal untuk menguasai Jelajah Malaysia (JM) 2015 apabila mudah menjuarai peringkat pertama semalam.

Pelumbanya dari Sepanyol Francisco Mancebo melintasi garisan penamat secara solo selepas meninggalkan pencabar lain pada perlumbaan bermula di Menara DBKL ke Putrajaya sejauh 152.9 kilometer itu dengan catatan 3 jam 31 minit 55 saat.

Ketinggalan di tempat kedua Cheung King Lok dari pasukan Hong Kong manakala pelumba Team 7-Eleven Roadbike Marcelo Felipe, ketiga.

“Kebiasaannya peringkat pertama mana-mana kejohanan amat sukar dan anda berkemungkinan tewas pada saingan itu. Anda perlu sentiasa berhati-hati.

“Secara keseluruhan, perlumbaan ini bagus. Saya sertai 28 pelumba lain yang berjaya melakukan pemecahan.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan solo ini,” kata Mancebo, pelumba berusia 39 tahun yang pernah menjuarai peringkat perlumbaan di Vuelta a Espana itu.

Pelumba dari Sepanyol itu melakukan pemecahan selepas 90 kilometer bersama-sama 28 pelumba lain sebelum meneruskan kayuhan bertenaga bersendirian.

“Jarak masa yang bagus berjaya dilakukan hari ini (semalam). Kami perlu mengekalkannya pada peringkat kedua. Saya fikir kami boleh melakukan dengan baik dalam ujian masa berpasukan nanti,” katanya.

Dia turut menyarung jersi Raja Pecut dengan mengumpul 18 mata manakala pelumba Korea Kim Okcheol menyarung jersi putih selaku pelumba muda terbaik (bagi bawah 23 tahun).

Untuk rekod Skydive Dubai Pro Cycling Team muncul pasukan terbaik dan juara individu keseluruhan tahun lalu.

Perlumbaan peringkat pertama semalam membabitkan 109 pelumba dengan 22 pelumba tidak dapat meneruskan perlumbaan (19 pelumba tempatan) hari ini kerana gagal menepati masa ditetapkan selain tidak menamatkan saingan.

Ia turut menyaksikan pasukan Selangor tersingkir apabila enam pelumbanya gagal menamatkan saingan dengan 18 pasukan kini bersaing termasuk pasukan Johor yang hanya mempunyai seorang pelumba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 10:10 AM