Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak pernah berputus asa dalam usaha membida atlet olahraga negara agar diserapkan ke dalam Program Podium.

Terbaru, surat sudah dihantar kepada program berkenaan untuk menilai beberapa atlet antaranya jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan (gambar).

Selain itu, pemenang pingat perak lempar cakera Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF), Muhamad Irfan Shamsuddin turut diharapkan terpilih berada dalam Podium bersama-sama pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur seperti Jackie Wong, Grace Wong (baling tukul besi) dan Hakimi Ismail (lompat kijang).

“KOM mencalonkan seramai enam atlet untuk disenaraikan dalam program itu dan ketika ini sudah ada seorang atlet olahraga iaitu Nuaraj Singh Randhawa dan berharap beberapa lagi atlet akan disenaraikan.

“Namun ia terpulang kepada Podium untuk melaksanakan tugas mereka dalam memilih atlet kerana ia di luar bidang kuasa KOM,” katanya.

Bagaimanapun, Karim Ibrahim menegaskan seandainya nama Khairul sekali lagi ditolak, program untuk pelari pecut terbaik Asia Tenggara itu tetap diteruskan.

“KOM akan meneruskan program untuk Khairul jika Podium tidak menerimanya kerana KOM tidak mahu mensia-siakan bakat yang dimiliki atlet itu.

“Kami sudah ada perancangan khas untuk Khairul dan berharap KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan ISN (Institut Sukan Negara) menyokong program itu,” katanya.

Terdahulu, Khairul dimaklumkan sudah melepasi syarat ke Sukan Asia selain turut disenaraikan ke Kejohanan Dalam Dewan di Birmingham tahun depan.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) itu direhatkan seketika dari menyertai sebarang kejohanan selepas tamatnya temasya dwitahunan itu berikutan mengalami kecederaan sehingga menyebabkan dia tidak dapat beraksi dalam acara 4x100m.

Bagaimanapun tahap kecederaannya itu dilaporkan sudah pulih sepenuhnya dan kini sudah mula menjalani latihan seperti biasa di bawah bimbingan Mohd Poad Md Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 11:22 AM