HAKIMI (dari kiri), Irfan dan Nauraj sah ke Gold Coast.
HAKIMI (dari kiri), Irfan dan Nauraj sah ke Gold Coast.
Aida Adilah Mat


TIGA atlet Program Podium terdiri daripada Irfan Shamsuddin, Nauraj Singh Randhawa dan Hakimi Ismail sudah pasti akan tersenarai ke Sukan Komanwel dengan Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan antara yang disebut akan ke Gold Coast.

Mereka antara atlet yang mungkin boleh menarik nafas lega ketika Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih berdiam diri apabila diminta untuk mengesahkan senarai atlet yang akan mengibarkan cabaran ke temasya itu.

Pengurus sukan olahraga Majlis Sukan Negara (MSN), Nor Azman Kassim bagaimanapun memaklumkan seramai 10 atlet lelaki dan dua atlet wanita dijangka akan mengibarkan cabaran.

Bagaimanapun ia masih lagi menjadi teka-teki dengan ketua jurulatih olahraga Zainal Abas juga masih belum memberi kata putus.

Azman menegaskan ketika ini semua program di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) berjalan seperti biasa namun tidak semua atlet akan menjalani latihan di luar negara.

“KOM memang sudah mempunyai senarai atlet yang akan ke Komanwel namun tidak boleh dipastikan kerana belum ada hitam putihnya.

“Ketika ini program atlet terpaksa berpecah. Atlet di bawah Program Podium akan berlatih mengikut perancangan masing-masing.

“Manakala atlet di bawah program MSN mendapat pendedahan awal pada Kejohanan Pra-Sukan Asia yang lalu dan berlatih di dalam negara saja,” katanya.

Terdahulu atlet olahraga negara memberi perkembangan positif apabila membawa pulang tiga emas, dua perak dan lima gangsa pada kejohanan jemputan Sukan Asia di Indonesia minggu lalu.

Beberapa atlet menunjukkan perkembangan positif antaranya atlet lompat tinggi Lee Hup Wei, Jackie Wong (baling tukul besi) dan Zaidatul Husniah Zulkifli (100 meter wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 4:51 PM