COUTINHO (kanan) jaring gol penyamaan Liverpool.  - Foto REUTERS
COUTINHO (kanan) jaring gol penyamaan Liverpool. - Foto REUTERS
AFP

MOSCOW: Gol menakjubkan Philippe Coutinho tidak cukup membantu Liverpool menang apabila mereka diikat 1-1 oleh Spartak Moscow dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Coutinho memadamkan gol awal sepakan percuma Fernando pada minit ke-31 namun impian Liverpool meraih kemenangan tidak kesampaian, menyebabkan mereka masih memburu kemenangan pertama selepas dua perlawanan dalam Kumpulan E.

Liverpool kini beraksi tujuh perlawanan dalam Liga Juara-Juara tanpa sebarang kemenangan - catatan terpanjang mereka dalam pertandingan itu - dan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu kumpulan Sevilla.

“Ketika ini kami bukannya pasukan paling bertuah dalam dunia bola sepak. Semuanya tidak menyebelahi kami,” kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp.

“Kami bertindak baik mencipta peluang menentang pasukan yang mengamalkan corak bertahan. Kami tidak memberi banyak peluang kepada mereka. Sepakan percuma menjurus kepada gol mereka itu bukannya satu kekasaran.”

 FERNANDO (dua kiri) letak Spartak di depan pada minit ke-23. - Foto REUTERS
FERNANDO (dua kiri) letak Spartak di depan pada minit ke-23. - Foto REUTERS

Juara lima kali Liverpool dihukum kerana penyudah yang lembap, pemain gantian Daniel Sturridge dan Mohamed Salah kedua-duanya mensia-siakan peluang untuk memastikan kemenangan pada hujung aksi.

Sesuatu yang positif, anak buah Klopp kelihatan lebih mantap secara bertahan berbanding beberapa minggu sebelum ini namun gol Fernando pada minit ke-23 menimbul persoalan mengenai keputusan menurunkan penjaga gol Loris Karius di tempat Simon Mignolet.

“Satu keputusan seri menentang pasukan kuat,” kata jurulatih Spartak dari Itali, Massimo Carrera.

“Anda sedar mengenai kekuatan dimiliki Liverpool. Sering kali sukar bertahan sepanjang masa menentang pasukan sebegitu. Kami turut mempunyai peluang tapi hantaran terakhir kami tidak begitu bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 9:04 AM