MOHAMED SALAH
MOHAMED SALAH
AFP

LIVERPOOL: Isu kecergasan Mohamed Salah, masa depan Philippe Coutinho dan kehadiran semula Virgil van Dijk menjadi tiga perkara utama yang dihadapi Liverpool ketika mereka bersiap menghadapi Everton pada pusingan ketiga Piala FA, esok.

Salah yang juga penjaring terbanyak Liverpool dengan 23 gol, terlepas aksi menentang Burnley Isnin lalu akibat kecederaan pangkal paha dan pengurus, Jurgen Klopp tegas mengatakan pemain itu masih belum dapat diturunkan.

Begitupun, Klopp tetap gembira dan sedia membenarkan Salah dan penyerang Senegal, Sadio Mane berlepas ke Ghana apabila kedua-duanya dicalonkan untuk Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Afrika 2017.

Klopp berkata, penting untuk mereka berada di majlis berkenaan walaupun pada masa sama, Liverpool perlu menyiapkan diri bertemu Everton.

“Jika majlis itu berlangsung pada hari perlawanan besar, saya yakin mereka tidak akan memohon untuk pergi ke Ghana,” kata Klopp. “Bagi kami, ia adalah soal hormat. Kami tidur di hotel sedangkan mereka tidur di dalam pesawat. Itu antara perbezaannya. Jika Mo tidak cergas, ia bukanlah disebabkan dia mahu berada di Ghana.”

Salah, Mane, Coutinho dan Roberto Firmino dilabel sebagai empat penyerang utama Liverpool walaupun pemain Mane adalah satu-satunya penggempur yang turun menentang Burnley dan beliau memberikan peluang kepada Dominic Solanke untuk membuat penampilan.

MASA depan Coutinho (kanan) masih jadi tanda tanya. -Foto AFP
MASA depan Coutinho (kanan) masih jadi tanda tanya. -Foto AFP

Firmino masuk sebagai pemain gantian dan ia adalah untuk memberikan dia rehat secukupnya sebelum bertemu Everton manakala Coutinho diketepikan sepenuhnya gara-gara masalah pangkal paha walaupun laporan mengaitkan perpindahannya ke Barcelona.

“Dia belum tentu bermain untuk perlawanan sekurang-kurangnya bertemu Everton,” kata Klopp.

Pertahanan, Van Dijk sudah boleh diturunkan selepas melengkapkan perpindahan dari Southampton.

Jika dia dipilih, ia bermakna Klopp menggandingkan empat pemain pertahanan tengah berbeza sepanjang empat perlawanan lalu dengan Joel Matip bermain bersama Ragnar Klavan ketika menentang Swansea dan Dejan Lovren ketika bertemu Leicester, sebelum mengetepikan kedua-dua pemain itu pada perlawanan bertemu Burnley.

“Saya tidak terdesak,” kata Klopp mengenai Van Dijk. “Kami perlukan masa. Biasanya ia dilakukan ketika pramusim tetapi kami tidak mempunyai tempoh itu. Selepas perlawanan menentang Everton, kami hanya ada sedikit masa tetapi ia adalah projek jangka panjang.

“Justeru, soal bila dia akan diturunkan itu tidak begitu penting, apa yang utama ialah berapa banyak perlawanan yang menyaksikan dia mampu bermain hebat untuk Liverpool.”

Ketika Liverpool tidak tewas dalam semua pertandingan sejak Oktober 22, Everton pula mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan - tewas dua aksi terakhir di Bournemouth, Sabtu lalu dan di tempat sendiri kepada Manchester United, Isnin lalu.

VAN Dijk mungkin diturunkan menentang Everton. -Reuters
VAN Dijk mungkin diturunkan menentang Everton. -Reuters

Pengurus, Sam Allardyce membawa mereka seri 1-1 dengan Liverpool di Anfield pada saingan Liga Perdana, 10 Disember lalu walaupun pelawat hanya memerlukan penalti Wayne Rooney pada lewat permainan untuk mengikat kedudukan.

Pemain tengah England, Ross Barkley pula semakin hampir untuk cergas selepas tidak bermain semua perlawanan akibat hamstring tetapi dia masih belum boleh diturunkan esok.

Everton bergelut untuk mencari gol dan mereka hanya berjaya meledak 25 gol berbanding 50 yang dihasilkan Liverpool. Pertahanan, Michael Keane menggesa supaya mereka meningkatkan aksi.

“Kami tidak menjaringkan banyak gol sejak kebelakangan ini dan kami juga tidak mencipta banyak peluang,” katanya.

“Itu adalah sesuatu yang kami perlu tingkatkan. Kami perlu pamerkan kualiti yang lebih baik dan saya percaya ia akan hadir tidak lama lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 12:27 PM