AFP

LIVERPOOL, England: Falsafah pengurus Liverpool, Juergen Klopp yang berasakan serangan adalah pertahanan terbaik membuahkan hasil yang cukup positif apabila anak buahnya membelasah Spartak Moscow 7-0 dalam saingan Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi tadi.

Kemenangan 7-0 kedua dalam peringkat Kumpulan E itu selepas turut menewaskan Maribor di Slovenia dilihat sebagai peringatan awal mengenai bahaya jentera serangan The Reds.

Philippe Coutinho yang bermain di posisi tengah meledak hatrik manakala Sadio Mane yang bertindak di sayap kanan menjaringkan dua gol.

Penyerang Mesir, Mohamed Salah turut meletakkan nama sebagai penjaring termasuk Roberto Firmino dengan anak buah Klopp mudah meratah kelab Russia itu.

“Tiada siapa terfikir ia akan berakhir dengan keputusan seperti ini. Spartak Moscow pasukan yang baik, saya tahu anda tidak akan fikir begitu sekarang tapi mereka sukar untuk ditewaskan.

“Kami membuka perlawanan dengan cukup baik dan selepas mendahului kami tidak perlu bertahan. Ia malam yang indah buat kami.

“Mendapat dua atau tiga gol awal sangat membantu. Saya memberitahu kepada pemain ketika waktu rehat, kami perlu buktikan kepada mereka yang kami sudah belajar daripada kesilapan dan perlu meneruskan rentak ini,” kata Klopp merujuk kepada keputusan seri 3-3 dengan Seville yang menyaksikan lawan bangkit biarpun mereka mendahului 3-0.

Ditanya sama ada jentera serangannya kini boleh dianggap sebagai ancaman besar buat pasukan lawan, Klopp tampil dengan pendiriannya yang tersendiri.

“Jika kami bermain seperti ini, dalam detik ini, kami sentiasa tajam, sudah pasti ia akan menjadi ancaman. Namun, kami mempunyai barisan pemain yang sama dan tidak menjaringkan gol,” kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:53 AM