AKTIVITI yang dianjurkan sepanjang Karnival Luar Kampus mengeratkan hubungan antara mahasiswa.
AKTIVITI yang dianjurkan sepanjang Karnival Luar Kampus mengeratkan hubungan antara mahasiswa.
Oleh Suliati Asri


DALAM usaha menggalakkan mahasiswa khususnya yang tinggal di luar kampus menyertai dan bergiat aktif dalam aktiviti di universiti, Jawatankuasa Pelajar Luar Kampus (JPLK), Universiti Malaya (UM) menganjurkan Karnival Luar Kampus.

Diadakan di Kompleks Perdanasiswa, UM program dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM dan Syarikat Moonton (Mobile Legends E-Sport) itu dianjurkan bagi membantu meningkatkan kesedaran mahasiswa dan warga universiti terhadap organisasi JPLK yang berfungsi membantu serta menjaga kebajikan pelajar luar kampus.

Presiden JPLK yang juga Pengarah Program Kesenian, Mashitah Ab Razak berkata, program kali pertama dianjurkan itu turut bertujuan mengeratkan hubungan dan kerjasama antara mahasiswa yang menetap di dalam serta luar kampus.

Menurutnya, dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik, program ini juga diadakan bagi meningkatkan kreativiti mahasiswa UM melalui penganjuran aktiviti kesenian dan e-Sukan.

"Walaupun pertama kali dianjurkan, karnival ini dilihat berjaya memberi impak diharapkan.

"Ini terbukti apabila ramai pihak terutama warga universiti kini menyedari kewujudan organisasi luar kampus yang berfungsi membantu dan menjaga hal berkaitan mahasiswa yang menetap di luar kampus.

"Pelajar yang menetap di luar dan dalam kampus juga dapat mengenali antara satu sama lain dan bergiat aktif dalam aktiviti universiti.

"Secara tidak langsung, program ini membantu JPLK UM untuk mengenal pasti permasalahan utama mahasiswa yang menetap di luar kampus," katanya.

MAHASISWA menyertai aktiviti e-Sport Mobile Legends.
MAHASISWA menyertai aktiviti e-Sport Mobile Legends.

WALAUPUN ‘menyeramkan’, namun aktiviti Haunted House: Ser-UM-Ah mendapat sambutan memberangsangkan.
WALAUPUN ‘menyeramkan’, namun aktiviti Haunted House: Ser-UM-Ah mendapat sambutan memberangsangkan.

Dianjurkan selama tujuh hari, aktiviti karnival ini terbahagi kepada tiga aktiviti utama iaitu aktiviti kesenian, e-Sport Mobile Legends dan 'haunted house.'

Mashitah berkata, untuk aktiviti kesenian, tema kebudayaan Malaysia diangkat sebagai tema utama bagi acara seni 'doodle', seni tatarias kreatif (special effect) dan video kreatif.

"Peserta perlu meletakkan elemen berkaitan kebudayaan di Malaysia dalam hasil karya mereka untuk mendapat markah penjurian.

"Manakala bagi aktiviti e-Sukan, JPLK bekerjasama dengan syarikat e-Sport Mobile Legends sendiri iaitu Moonton dalam menjayakan aktiviti Mobile Legends secara bersemuka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program E-Sport: Mobile Legends, Muhammad Nursyam Samsul berkata, Karnival Luar Kampus ini adalah satu-satunya program di UM yang mendapat kerjasama secara langsung bersama pihak Moonton.

"Kerjasama ini membantu pelaksanaan aktiviti e-Sport Mobile Legends untuk berjalan lancar," katanya.

Program itu turut menyediakan beberapa aktiviti menarik lain iaitu aktiviti 'open MIC' (nyanyian terbuka) dan permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban.

Aktiviti 'Haunted House: Ser-UM-Ah' pula yang diadakan selama dua hari mendapat sambutan daripada mahasiswa UM apabila semua slot tiket kemasukan habis dijual dalam masa 30 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 6:48 AM