Fazurawati Che Lah

MINGGU lalu menyaksikan ribuan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendaftar untuk program di Pusat Asasi di universiti awam (UA) terpilih.

Ramai dalam kalangan pelajar cemerlang memohon masuk ke Pusat Asasi, mungkin kerana suasana pembelajaran sudah seakan-akan di universiti berikutan lokasi pengajian di dalam kampus.

Ini menyebabkan mereka teruja untuk kerana ramai yang beranggapan selepas tamat pengajian Asasi, mereka boleh terus melanjutkan pengajian di universiti sama untuk pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Terdapat 12 UA menawarkan program pengajian Asasi iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

DR OTHMAN (tiga dari kanan) berbual dengan penuntut baharu asasi UKM. FOTO Syarafiq Abd Samad
DR OTHMAN (tiga dari kanan) berbual dengan penuntut baharu asasi UKM. FOTO Syarafiq Abd Samad

Peralihan daripada berstatus pelajar sekolah kepada mahasiswa yang terlalu drastik memerlukan satu mekanisme atau cara betul dan sesuai untuk mengharungi perubahan status itu supaya perlakuan serta tabiat ketika berada di alam persekolahan tidak dibawa 100 peratus ke alam kampus.

Ini kerana secara keseluruhannya alam universiti dan alam persekolahan itu terlalu banyak perbezaannya.

Pelajar Asasi Pintar UKM, Nur Aqilah Muhammad Badruddin, 18, turut merasai perbezaan ketara apabila kini bergelar mahasiswa.

“Bergelar mahasiswa secara keseluruhannya berpusatkan kepada pelajar dan pensyarah atau tutor sebagai pembimbing, fasilitator atau pemudah cara.

“Selebihnya adalah inisiatif mahasiswa sendiri untuk membentuk penuntut yang holistik dan cemerlang. Apabila bergelar mahasiswa, taraf atau tahap pemikiran perlulah sejajar dan selaras dengan makna sebenar mahasiswa itu sendiri.

“Pemikiran ini penting kerana ia melambangkan satu penanda aras yang menunjukkan kita sebenarnya adalah mahasiswa,” katanya ditemui selepas Majlis Ikrar Pelajar Baharu Sempena Minggu Mesra Pelajar Asasi Pintar UKM di Kampus Induk, UKM Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Asasi Pintar UKM menerima 458 pelajar baharu bagi sesi 2019/2020 untuk pengajian selama setahun.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Dr Othman A Karim. Hadir sama, Pengarah Pusat Genius @ Pintar Negara, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak.

PELAJAR Asasi UNIMAS berbaju mengikut kaum di Sarawak ketika majlis ikrar. FOTO NSTP
PELAJAR Asasi UNIMAS berbaju mengikut kaum di Sarawak ketika majlis ikrar. FOTO NSTP

Nur Aqilah berkata, sebagai bakal mahasiswa yang akan menjejakkan kaki ke universiti, mereka perlu mempersiapkan diri dari segi mental, fizikal, jasmani, emosi, rohani dan juga intelek sebagai bekalan untuk melayari bahtera kehidupan di alam kampus.

“Jika kita lihat, kampus adalah alam yang paling menyeronokkan setiap mahasiswa sepanjang menuntut ilmu. Ini adalah peluang untuk mempersiapkan diri kepada alam seterusnya iaitu dunia pekerjaan dan masyarakat.

“Sekiranya kita gagal menyiapkan diri dan tidak memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan ditimba, kesannya kita akan lihat kepada generasi pewaris bangsa suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Aiman Hakim Abd Majid, 17, pula berkata, sikap sentiasa muhasabah diri untuk melihat di mana kelemahan dan memperbaikinya perlu ditanam mahasiswa supaya tidak hanyut dengan keseronokan alam kampus.

Katanya, biarpun kebanyakan pelajar yang mengikuti program Asasi adalah bijak dan memperoleh keputusan cemerlang, ia bukan jaminan mereka mampu mengharungi tempoh pengajian setahun yang padat dan mencabar kerana risiko gagal sentiasa ada kalau tidak bersedia.

“Keyakinan diri terhadap kemampuan diri kena tinggi kerana perlu bersaing dengan ramai pelajar yang bijak pandai. Memperoleh keputusan yang teruk akan ‘ditendang keluar’.

“Apatah lagi gejala kejutan budaya bukan hanya terbatas kepada aspek sosial tetapi ruang lingkupnya boleh mencakupi kaedah belajar, pembahagian masa dan komunikasi dengan orang di sekeliling,” katanya.

Sementara itu, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (CFS UIAM) Kampus UIAM Gambang menerima 3,604 pelajar untuk sesi akademik semester satu 2019/2020.

Untuk kemasukan kali ini, ia mencatat satu sejarah yang tersendiri di mana CFS UIAM Kampus Gambang mula dibuka sepenuhnya dan beroperasi keseluruhannya untuk aktiviti pembelajaran dan pengajaran pada kemasukan ini.

Pelajar baharu menjalani program Ta’aruf atau lebih dikenali dengan minggu suai kenal. Sepanjang lima hari berta’aruf, pelbagai aktiviti dan taklimat diberikan kepada penuntut baharu supaya mereka akan lebih mengenali selok-belok sekitar kampus terutama berkaitan kuliah pengajian dan jabatan yang terdapat di UIAM.

PENDAFTARAN pelajar Asasi CFS UIAM. FOTO NSTP
PENDAFTARAN pelajar Asasi CFS UIAM. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:44 AM