MUHAMMAD Hanis Kamsah (tengah) mengetuai pasukan Terengganu bagi acara berpasukan Pro Evolution Soccer yang julung kali dipertandingkan di Sukma 2022. FOTO ihsan PSENT.
MUHAMMAD Hanis Kamsah (tengah) mengetuai pasukan Terengganu bagi acara berpasukan Pro Evolution Soccer yang julung kali dipertandingkan di Sukma 2022. FOTO ihsan PSENT.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun kali pertama e-sports dipertandingkan di Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di Kuala Lumpur bermula 16 hingga 24 September depan, barisan pemain Terengganu optimis mampu membawa pulang kilauan pingat emas.

Keyakinan itu disuarakan atlet berbakat besar, Muhammad Hanis Kamsah, 22, yang melihat temasya itu sebagai medan terbaik buatnya dan rakan sepasukan mengembangkan lagi bakat dimiliki.

"Walaupun kali pertama bakal dipertandingkan dalam temasya Sukma, saya berkeyakinan mampu membawa pulang pingat emas dengan saingan sengit dijangka daripada atlet Johor dan Kedah.

"Kita boleh lihat kebangkitan negeri ini dalam beberapa kejohanan besar dalam tempoh dua tiga tahun ini.

"Mereka sudah lama bersedia seperti mana kami walaupun momentum pasukan terganggu sewaktu pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

"Apa yang boleh saya rumuskan, skuad e-sports Terengganu sudah bersedia dan berada pada landasan terbaik untuk meraih pingat dalam temasya itu nanti," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan e-sports Terengganu, Syed Afif Hakimi Tengku Abdillah berkata, ketandusan kejohanan sukan elektronik berformatkan secara bersemuka (offline) dilihat bakal menjadi cabaran buat setiap pasukan yang akan bertanding di Sukma itu.

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Sukan Elektronik Negeri Terengganu berkata, situasi ini perlu diambil kira sebagai persediaan skuad e-sports Terengganu untuk memburu pingat emas nanti.

"Kini pemain kami berada pada fasa terakhir program latihan sebelum berjuang di Lembah Klang nanti walaupun kurang pendedahan.

"Walaupun saingan pasti sengit memandangkan kali pertama dipertandingkan, kami tetap menyasarkan tiga pingat emas daripada acara Pro Evolution Soccer (PES) berdasarkan prestasi semasa atlet," katanya.

Terengganu bakal menghantar 16 atlet berusia 16 hingga 23 tahun yang bakal beraksi dalam acara Dota 2, PES dan Mobile Legends yang popular dalam kalangan pencinta sukan elektronik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 8:39 PM