ROHANA Wahi, sanggup berkerusi roda mengunjungi KJH Segulai Sejalai Sarawak. FOTO Mohd Roji Kawi
ROHANA Wahi, sanggup berkerusi roda mengunjungi KJH Segulai Sejalai Sarawak. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kesukaran berjalan selepas menjalani pembedahan kaki tidak menghalang Rohana Wahi mengunjungi Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini, hari ini.

Malah wanita berusia 57 tahun itu sanggup datang dari rumahnya di Kampung Serpan, Asajaya ke tapak KJH yang terletak hampir 100 kilometer dalam hujan lebat awal pagi tadi, bersama suami dan dua anak mereka.

Rohana berkata, walaupun berkerusi roda, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk mengunjungi KJH yang kembali semula ke Sarawak selepas kali terakhir diadakan 11 tahun lalu.

"Saya pernah merasai kemeriahan KJH di Kuching ini pada 2013, kerana itu, walaupun terpaksa berkerusi roda, saya sedaya upaya mahu mengunjunginya.

"Syukur, suami sudi membawa saya ke sini walaupun dalam keadaan hujan lebat...banyak kenangan manis pada KJH yang lalu," katanya.

Rohana berkata, sementara menunggu cuaca baik, dia mengambil peluang menonton Pertandingan Nyanyian Terbuka di reruai Studio Tonton Drama Sangat.

"Apabila cuaca elok nanti, suami atau anak akan bantu tolak kerusi roda saya untuk melihat gerai jualan serta reruai pameran," katanya.

Sebanyak 130 reruai pameran dibuka yang disertai agensi kerajaan dan swasta.

Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) turut mengendalikan reruai Dino Land, antara yang menjadi daya tarikan utama pada KJH Segulai Sejalai Sarawak.

Pengunjung berpeluang merasai pengalaman zaman 'Jurassic' melihat dinosaur bersaiz raksasa yang dipamerkan dengan bayaran masuk hanya RM20 sekeluarga.

Sepanjang tiga hari berkampung di Dataran Perayaan Petra Jaya, pelbagai aktiviti dirancang untuk memberikan hiburan dan kenangan manis buat warga Sarawak khususnya dan Borneo keseluruhannya.

Tidak ketinggalan, hadiah menarik turut disediakan menerusi reruai Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Studio Jom Heboh, New Straits Times Press (New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro), Hot FM dan Seismik TV.

Penggemar e-Sport terutamanya Mobile Legends, berpeluang menyertai Jom Esports Championship - Mobile Legends (Preliminary Round) bermula malam ini.

Acara e-Sport julung kali dibawakan pada KJH selepas 21 tahun penganjurannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 2:08 PM