MOHD Azam (tiga dari kiri) menerima pelindung muka daripada pihak Zahriladha (tiga dari kanan).
MOHD Azam (tiga dari kiri) menerima pelindung muka daripada pihak Zahriladha (tiga dari kanan).
HM Digital

UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada sektor yang memerlukan dan bersesuaian dengan situasi semasa.

Selari dengan bermulanya kembali sesi persekolahan di musim kawalan penularan pandemik Covid-19 ini UTeM mengambil inisiatif dengan menyampaikan sumbangan pelindung muka yang dihasilkan universiti ini yang dikenali sebagai UTeM Shield kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim, berkata sebanyak 3,000 unit UTeM Shield disumbangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Katanya, pelindung muka itu akan digunakan barisan guru di negeri ini sepanjang sesi persekolahan yang membabitkan aktiviti pembelajaran dan pengajaran.

"Khidmat sosial itu sekali gus menzahirkan kerjasama dan hubungan baik terus terjalin antara pihak UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu dan berinovasi tinggi bersama dengan jabatan serta agensi kerajaan yang lain," katanya.

UTeM Shield ini diserahkan pihak pengurusan UTeM terus kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Dr Mohd Azam Ahmad di pejabat JPN Melaka.

Menurut Dr Mohd Azam, pihak JPN mengalu-alukan sumbangan berkenaan dan merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak UTeM atas inisiatif dan keprihatinan ini.

"Sumbangan ini dapat membantu kumpulan guru untuk digunakan ketika sesi persekolahan normal baharu," katanya.

Pelindung muka itu diserahkan Ketua Pusat Kecemerlangan (COE) UTeM, Profesor Dr Zahriladha Zakaria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 6:30 AM