ANTARA pasukan yang mengambil bahagian bergambar pada majlis hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
ANTARA pasukan yang mengambil bahagian bergambar pada majlis hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 yang kali pertama dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membabitkan 16 pasukan akan membuka tirainya esok.

Aksi pembukaan bermula di Kolej Komuniti Segamat, Johor dan berakhir di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Putrajaya pada 20 Jun 2023.

Kejohanan itu bertujuan memberi ruang kepada atlet dan pegawai IPT khususnya merasai pengalaman beraksi seperti dalam jelajah lumba basikal Le Tour de Langkawi atau jelajah Malaysia.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, LTdIPT juga memberi pendedahan kepada peserta untuk bertanding dalam perlumbaan berbasikal yang kompetitif.

Katanya, KPT mengharapkan LTdIPT mampu membantu merancakkan pembangunan sukan berbasikal dan melahirkan pelumba-pelumba berkaliber tanah air yang lahir dari pusat pengajian tinggi.

"Kejohanan anjuran dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) disertai pelbagai pasukan IPTA, IPTS di bawah naungan KPT.

"Saingan membabitkan empat peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan sejauh 332.7km dengan nilai hadiah keseluruhan RM40,000 menjadi rebutan lebih 100 pelumba," katanya.

Majlis pengenalan pasukan disempurnakan Yang Di-pertua Negeri Melaka yang juga Canselor UTeM, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin.

MAJLIS Pengenalan Pasukan Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Canselor UTeM. FOTO NAZRI ABU BAKAR
MAJLIS Pengenalan Pasukan Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Canselor UTeM. FOTO NAZRI ABU BAKAR

Tambah Pekan, antara pasukan mengambil bahagian adalah Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang, Kolej Komuniti Malaysia, Majlis Sukan Politeknik Malaysia, Multimedia University, UIAM/UPM/UNIMAS, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Malaysia Terengganu.

Turut mengambil bahagian Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan Malaysian University Cycling Team.

Ia membabitkan empat peringkat perlumbaan dengan peringkat pertama sejauh 96.4km dari Kolej Komuniti Segamat hingga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka.

"Perlumbaan peringkat kedua membabitkan kriterium dengan jarak 60km dan disusuli peringkat ketiga antara Politeknik Port Dickson-Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan jarak 92.8km.

"Perlumbaan peringkat akhir membabitkan jarak 83.5 km antara Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi hingga bangunan KPT di Putrajaya," katanya.

Edisi terbabit menawarkan empat jersi iaitu pendahulu keseluruhan (jersi kuning) , raja pecut ( kuning), raja bukit (polkadot) dan pendahulu bawah 21 tahun (putih).

LTdlPT juga adalah kesinambungan penganjuran Varsity Cycling Challenge (VCC) yang mula dianjurkan pada 2015.

Venue saingan kali ini membabitkan UTeM, Kolej Komuniti Segamat, Politeknik Port Dickson, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan KPT.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 7:15 PM