Mohd Redzuan meninjau pembuatan ‘UTeM Shield’ di UTeM, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Mohd Redzuan meninjau pembuatan ‘UTeM Shield’ di UTeM, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof hari ini meninjau pembuatan pelindung muka bagi menangani pandemik Covid-19 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal.

Pelindung muka yang dinamakan ‘UTeM Shield’ itu dihasilkan sepenuhnya di Makmal Teknologi Plastik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTeM yang kini mempunyai mesin bertaraf industri.

Turut mengiringinya Naib Canselor UTeM Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim serta beberapa pegawai kanan universiti terbabit.

Mohd Redzuan berkata, ia adalah inisiatif UTeM untuk membekalkan kelengkapan pelindung kepada petugas barisan hadapan termasuk pegawai perubatan dan kesihatan, anggota polis dan tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta pekerja pembersihan.

“UTeM Shield yang dihasilkan oleh pasukan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTeM itu direka dengan menggunakan kaedah teknikal dan teknologi terkini potongan laser serta cetakan tiga dimensi (3D) yang berjaya menghasilkan 500 unit sehari.

“Reka bentuk rangka utama UTeM Shield ini dibangunkan susulan perbincangan dan maklum balas bersama pegawai perubatan dari Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan negeri bagi memastikannya memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya mengurangkan risiko jangkitan terhadap pasukan hadapan CovidD-19,” katanya.

Sementara itu, Raha berkata, setakat ni bekalan UTeM Shield itu digunakan untuk kegunaan dalaman UTeM dan diagihkan pusat kesihatan, polis dan tentera sekitar Melaka serta penyumbang dana yang menghantarnya kepada pihak yang mereka pilih.

Menurutnya, pihak UTeM dijangka dapati memenuhi permintaan dari seluruh negara mulai minggu hadapan hasil daripada peningkatan pengeluarannya.

“Walaupun pada ketika ini sudah ada permintaan dari luar negara seperti Jepun, Indonesia dan Filipina, keutamaan diberikan kepada pelanggan tempatan terlebih dahulu,” katanya.

Dalam lawatan itu, Mohd Redzuan turut meluangkan masa melawat Projek UTeM Intubation Shield yang dihasilkan bertujuan untuk melindungi pegawai perubatan dan petugas kesihatan semasa menjalankan prosedur intubasi terhadap pesakit yang dijangkiti Covid-19.

UTeM Intubation Shield akan digunakan oleh pegawai perubatan dan petugas kesihatan di hospital di sekitar Melaka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 3:55 PM