Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa dua pemain bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka yang ditampar jurulatih, semalam.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pertemuan itu adalah untuk mendapatkan maklum balas ibu bapa berhubung insiden yang menimpa anak mereka.

"Concern (kebimbangan) kita sangat besar berkenaan isu ini dan keutamaan kita adalah keselamatan serta kebajikan pelajar tersebut.

"Kita tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutamanya terhadap pelajar kita," katanya yang ditemui selepas sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, siasatan akan diteruskan susulan maklum balas itu dan pandangan pemegang taruh, dengan aspek dinilai termasuk integriti dan tatatertib.

Dalam pada itu katanya, dua remaja itu juga menjalani sesi kaunseling yang dikelola Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.

Menurutnya, siasatan terhadap kes itu dilaksana di bawah bahagian integriti dan tatatertib.

Terdahulu, Fadhlina melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun dan SMK Jalan Kebun sempena hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan penggal ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 9:48 AM