Fazurawati Che Lah


TREND mahasiswa mencari duit poket dengan melakukan kerja sambilan terutama pada hujung minggu atau untuk acara tertentu dalam kampus bukan perkara luar biasa.

Dalam satu majlis konvokesyen baru-baru ini, 13 mahasiswa daripada pelbagai bidang pengajian menghabiskan masa kira-kira 10 jam sehari lebih seminggu sebelum acara untuk menggosok jubah yang dihantar kepada mereka.

Apa yang pasti, kerja dilaksanakan kumpulan mahasiswa itu menyediakan servis supaya pakaian istiadat yang dipakai pada detik bersejarah kelihatan rapi dan kemas.

Walaupun kerjanya menggosok jubah, mereka gembira kerana dapat mencari wang tambahan bagi menampung perbelanjaan pengajian.

Kerja itu sebahagian daripada program Rakan Bakti Putra UPM sempena Majlis Konvokesyen UPM Kali Ke-43 untuk memberi peluang kepada penuntut bekerja bagi mencari wang tambahan.

Sementara itu, Bursar UPM, Zulkiflee Othman berkata, program Rakan Bakti Putra UPM ditubuhkan pada Oktober 2015 bertujuan mempergiatkan dan memperkukuhkan usaha membudayakan mahasiswa yang berinisiatif, berdikari serta berbakti dalam kalangan penuntut.

Katanya, program itu diselia oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) dengan kerjasama Pejabat Bursar UPM.

“Program ini memberi keutamaan sasaran dalam kalangan penuntut asnaf. Melalui program ini, mahasiswa dapat memberi sumbangan kepada universiti dan dalam masa sama membantu penuntut supaya tidak terlalu bergantung kepada sumbangan atau bantuan kerajaan mahupun universiti.

“Mahasiswa berpeluang menambah pendapatan dan dapat mempertingkatkan keupayaan kewangan dalam tempoh pengajian,” katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya berjaya menyumbang peluang pekerjaan kepada kira-kira 200 penuntut kurang berkemampuan.

Selain menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada penuntut, kursus berkaitan kemahiran turut didedahkan kepada peserta supaya dapat meningkatkan servis diberikan.

“Melalui program sebegini, universiti tidak perlu mengupah orang luar, sekali gus mengurangkan kos perkhidmatan luar.

“Universiti juga dapat memantau keselamatan penuntut yang bekerja di dalam kampus, selain waktu kerja yang fleksibel dan bayaran diberikan hampir sama dengan syarikat luar,” katanya.

Penuntut Sarjana Kesusasteraan Melayu, Nur Aqilah Rojudin, 24, dia tidak pernah melepaskan peluang melakukan kerja sambilan di kampus dengan tujuan memperoleh pendapatan bagi menampung pengajian.

PENUNTUT turut diberi tunjuk ajar untuk menggubah bunga.
PENUNTUT turut diberi tunjuk ajar untuk menggubah bunga.

Pelbagai pekerjaan dilakukan anak gadis dari Teluk Intan, Perak itu di UPM bermula pada semester kedua ketika mengikuti program Ijazah Sarjana Muda, kira-kira tiga tahun lalu.

“Setiap kali cuti semester, saya akan ke Rakan Bakti Putra untuk bertanyakan kerja kosong kerana cuti panjang masa sesuai untuk kumpul duit,” katanya.

Antara pekerjaan dilakukan Nur Aqilah adalah sebagai kakitangan pentadbiran, mengambil upah memasukkan tanah ke dalam polibeg, menggubah bunga dan terbaharu menggosok jubah konvokesyen.

Rakannya, penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer), Ummi Adlina Omiza, 22, berkata, dia mengambil peluang mengikuti kerja sambilan di UPM iaitu menggosok jubah konvokesyen dalam usaha meningkatkan keyakinan dan kemahiran dirinya.

“Malah, saya juga dapat melihat potensi diri dan kemahiran berkaitan, contohnya bagaimana saya mahu meningkatkan servis jualan dan keyakinan diri. Selepas dapat mengesan kelemahan itu, saya berusaha memperbaikinya supaya servis yang disediakan bertambah baik,” katanya.

Katanya, dia bersyukur apabila diberi peluang bekerja di kampus kerana pekerjaan dilakukan sentiasa dipantau pihak universiti serta penuntut dibimbing untuk melaksanakan tugasan dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:31 AM