REBAN ayam saga yang khas untuk betina.
REBAN ayam saga yang khas untuk betina.
Hafiz Ithnin


KEPUTUSAN lelaki berusia 44 tahun ini berundur dari bidang kejuruteraan lapan tahun lalu untuk menceburkan diri dalam dunia pertanian dan penternakan nyata menampakkan hasilnya.

Menyusun strategi menjadi kunci utama kepada pemilik nama Mohd Yazid Sulaiman yang melihat kedua-dua bidang itu mempunyai nada sama untuk menjana pendapatan dalam perniagaan.

Anak kelahiran Kuala Selangor itu, pada awalnya mengusahakan tanah keluarganya seluas 0.8 hektar dengan melakukan kerja penanaman sayur-sayuran kemudian beralih kepada penternakan ayam kampung.

Kini, Mohd Yazid bukan sahaja petani yang menanam sayur-sayuran, malah pada masa sama bergelar usahawan dalam semua rantaian penternakan ayam.

"Pada awalnya saya menternak 300 ayam kacuk dengan modal permulaan RM3,000 bagi tujuan jualan daging. Seterusnya, mengembangkan kepada 5,000 ayam kacuk.

ANAK-anak ayam diasingkan dan memastikan mendapat penjagaan yang baik.
ANAK-anak ayam diasingkan dan memastikan mendapat penjagaan yang baik.

"Namun, akibat cabaran bekalan dan persaingan ladang ayam kacuk pedaging saya melangkah setapak dengan menyertai pengeluaran anak ayam saga iaitu ayam kampung hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi)," katanya.

Sejak itu, Mohd Yazid menjadi peserta pengembangan ayam saga di bawah bimbingan Mardi dan Jabatan Veterinar.

Mohd Yazid berkata, sehingga kini dia mempunyai 5,000 ayam merangkumi pembaka dan anak ayam saga. Turut berada dalam jumlah itu ialah ayam kacuk.

YAZID mempunyai mesin inkubator untuk telur ayam.
YAZID mempunyai mesin inkubator untuk telur ayam.

Jelasnya, ayam saga mempunyai keunikan rasa tersendiri dan tempoh matang untuk disembelih hanya mengambil masa tiga hingga tiga bulan setengah berbanding ayam kampung asli, antara empat hingga lima bulan.

"Untuk ayam saga, saya bukan sahaja mengusahakan jualan baka, tetapi merangkumi semua rantainya iaitu bermula dari jualan telur sehingga daging sejuk beku.

"Setakat ini, saya bukan sahaja menjualnya di sekitar Selangor, malah mempunyai pembeli di Kelantan dan Melaka," katanya yang mempunyai 4,000 ayam saga pelbagai peringkat usia.

Katanya, dari segi makanan, ayam yang diternaknya diberikan 80 peratus makanan komersial dan 20 peratus makanan alternatif.

TURUT membela burung puyuh.
TURUT membela burung puyuh.

Jelasnya, makanan menjadi elemen paling penting dalam penternakan ayam berkualiti dan mampu menghindari penyakit.

"Namun, ketika ini harga makanan komersial semakin meningkat dan ia boleh memberi kesan kepada kos penjualan kepada pengguna.

"Jadi, sebagai penternak, saya sendiri mencampurkan 20 peratus makanan alternatif terdiri daripada pokok ketum ayam dan jagung yang ditanam di sekeliling ladang," katanya yang membelanjakan sehingga RM10,000 untuk makanan ayam sebulan.

Tambahnya, ayam saga khasnya mendapat permintaan tinggi daripada pembeli kerana ia digemari pelbagai bangsa di Malaysia dan pekerja asing.

POKOK terung mini diusahakan di sekitar ladang.
POKOK terung mini diusahakan di sekitar ladang.

"Bagi telur ayam saga dijual pada harga antara 50 sen hingga 80 sen sebiji, anaknya yang hidup dijual pada RM2.50 seekor dan daging siap diproses mampu mencecah RM18 sekilogram kepada pembeli akhir.

"Saya fokus kepada penjualan anak ayam. Secara purata mampu menjual sehingga 4,000 ekor sebulan dan bagi ayam saga matang, sehingga 500 ekor sebulan," katanya.

Jelasnya, sebagai penternak dan peniaga dia perlu bijak menguruskan bekalan supaya ia tidak terputus kepada pembeli dalam kalangan peniaga selain penternak.

"Selain itu, saya juga mempelbagaikan perniagaan supaya pendapatan tidak hanya tertumpu kepada satu sumber.

"Saya juga mempunyai kedai makanan ternakan yang diusahakan bersama rakan sekampung dan Jasa Jaya Agro milik saya serta keluarga supaya penternak dapat membeli barangan keperluan penternakan pada harga berpatutan," katanya.

Dia turut mengakui cabaran sentiasa ada dan sebagai pengusaha serta peniaga, perkara lebih penting ialah ilmu pengetahuan.

"Saya sendiri mengikuti pelbagai kursus untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang ini yang bukan sahaja mengenai ternakan, malah perniagaan.

"Perkara yang tidak dilupakan ialah ayam ternakan pernah mengalami kematian kerana serangan selesema. Jadi, apabila kita tidak mempunyai pengetahuan mengenai kawalan penyakit itu, pastinya memberi kesan dalam perniagaan

. Begitu juga jika tidak tahu aspek pemasaran, saya akan tenggelam dengan pesaing lain," katanya.

Pesannya, dunia penternakan mudah untuk dimulakan, tetapi perlu cekal berdepan cabaran selain kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 6:21 AM