200 ekor ayam diagihkan kepada peserta.
200 ekor ayam diagihkan kepada peserta.
Nurul Husna Mahmud

Penternakan ayam kampung kacuk dari baka SASSO berupaya menjana pendapatan bersih sekitar RM1,500 hingga RM 2,000 sebulan menerusi kaedah penternakan dan strategi pemasaran yang betul.

Ia berdasarkan pengalaman peserta Sustainable Community Poultry Project (SCoPP) iaitu inisiatif pelaburan sosial Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) dikelola MyFundAction, Mohd Zaharil Irwan Mohd Sayuti.

Beliau berjaya menjana pendapatan kasar sekitar RM4,000 hasil jualan ayam terbabit semusim.

Kata Mohd Zaharil, tempoh ternakan ayam kampung kacuk sekurang-kurangnya 60 hari sebelum matang untuk jualan.

"Saya pesawah sepenuh masa dan apabila diberi peluang mengikuti program SCoPP saya tidak lepaskan kerana meminati bidang penternakan.

"Sebelum ini saya ada bela ayam kampung kecil-kecilan untuk keperluan sendiri dan program terbabit memberi ruang jana pendapatan pula.

"Selepas tiga pusingan, saya mula dapat 'rentak' baik dari segi pulangan modal dan untung lebih stabil. Malah, saya dapat formula stabil untuk ayam ternakan mencapai berat baik untuk jualan," katanya.

DIET bergantung kepada penternak.
DIET bergantung kepada penternak.

Kata Mohd Zaharil, berat ayam ternakan berjaya mencecah sekitar 2.2 kilogram (kg) dengan kombinasi diet dedak, padi dan ketum ayam.

"Berat ayam penting kerana itu menentukan pulangan apabila dipasarkan dan ayam ternakan saya berjaya mencecah berat lebih 2 kilogram.

"Syarat berat ayam matang sesuai untuk jualan mestilah sekurang-kurangnya melepasi 1.5 kilogram.

"Penjagaan tidak serumit ayam daging dan bantuan lampu mentol memadai bagi menjamin suhu sesuai untuk tumbesaran anak ayam," katanya.

Pengurus Projek SCoPP, Hariz Danial Safruddin berkata, inisiatif ini menyasarkan 20 peserta dan pembiayaan penuh RM13,000 ditawarkan.

"Pembiayaan merangkumi pensijilan, latihan, penyediaan barangan keperluan penternakan, benih anak ayam dan bekalan makanan.

BERAT ayam sekurang-kurangnya perlu mencapai 1.5 kilogram.
BERAT ayam sekurang-kurangnya perlu mencapai 1.5 kilogram.

"Antara objektif inisiatif ini untuk menjamin pendapatan bulanan sekurang-kurangnya melepasi paras RM1,500 sebulan bagi setiap peserta keseluruhannya daripada masyarakat B40 di sekitar Selangor.

"Selepas tiga musim kami dapati mereka dapat jana untung RM1,800 hingga RM 2,000 sebulan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Pelabur, Kelestarian dan Komunikasi KPS Berhad, Zulkifli Mawardi, pihaknya terus memberi sokongan dalam projek yang dapat meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat Selangor.

"SCoPP sangat menggalakkan penyertaan usahawan tani kecil dalam perniagaan penternakan ayam kampung kacuk dan turut sama bantu usahawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 6:30 AM