DR Mohd Yusoff tidak nafikan banyak cabaran dalam penternakan ayam.
DR Mohd Yusoff tidak nafikan banyak cabaran dalam penternakan ayam.
Hafiz Ithnin

"SEBAGAI usahawan bidang penternakan kita perlu tahu bukan saja urusan jual beli malah proses tumbesaran haiwan berkenaan bagi memastikan tidak berlaku kerugian selain memberi cabaran untuk mengusahakannya," jelas usahawan dan penternak ayam organik ini.

Selama 30 tahun bertugas sebagai doktor veterinar yang berkhidmat di sebuah syarikat perusahaan ayam, Dr Mohd Yusoff Suleman sememangnya mempunyai cita-cita untuk menyertai bidang itu ketika masih menjadi individu 'makan gaji.'

Selepas hampir usia persaraan, Dr Mohd Yusoff baru dapat mengejar impiannya. Itu pun secara tidak langsung.

Kongsinya, empat tahun lalu, beliau membeli sebidang tanah berkeluasan sekitar 0.4 hektar di Rembau, Negeri Sembilan dan membela ayam di tanahnya sekadar hobi.

Katanya, selepas membela ayam yang dijadikan sekadar hobi itu cukup tempoh masa untuk disembelih, ternyata haiwan itu mempunyai rasa sungguh lazat.

"Ketika itu, saya turut memberi rakan untuk merasa dagingnya dan mereka mengatakan isi ayam berkenaan lebih lazat berbanding ayam komersial.

PENTERNAKAN secara bebas membantu ayam lebih sihat.
PENTERNAKAN secara bebas membantu ayam lebih sihat.

LADANG ayam milik Dr Mohd Yusoff.
LADANG ayam milik Dr Mohd Yusoff.

"Jadi, saya membuat kajian mengenai ayam kacukan ini yang dikenali sebagai Brown untuk melihat faktor ia boleh menawarkan rasa yang lebih baik berbanding ayam komersial dan mendapati pemakanan secara organik menjadi penyebab," katanya.

Dr Mohd Yusoff mengusahakan ternakan haiwan itu dengan membeli anak ayam, dibesarkan sehingga cukup tempoh disembelih dan diproses untuk dijual kepada pasaran.

Ketika ini, beliau mempunyai tiga jenis ternakan ayam iaitu Hubbard, Ayam Kampung Jerai dan Baka Coral dari England iaitu ayam telur.

Empat tahun lalu, beliau hanya memiliki 500 ekor ayam Hubbard dan kini berkembang kepada lebih 3,000 ekor. Bagi Ayam Kampung Jerai beliau baru tiga bulan mengusahakannya dan di peringkat awal mempunyai 100 ekor dan bercadang mengembangkan sehingga 1,500 ekor pada masa depan.

"Saya amat mementingkan pemakanan ayam ternakan yang tidak dicampurkan dengan makanan komersial mengandungi antibiotik kerana ia boleh memberi kesan kepada rasa dan khasiatnya.

AYAM Hubbard yang siap diproses.
AYAM Hubbard yang siap diproses.

ANTARA masakan ayam organik.
ANTARA masakan ayam organik.

"Jadi, saya memberikan haiwan ini makanan dan serangga yang hidup secara liar di kawasan tanah ini iaitu rumput, bayam liar, belalang dan cengkerik. Pada masa sama dedak organik juga diberikan mengikut sukatan tertentu," katanya yang memiliki lesen ternakan ayam sejak tiga tahun lalu.

Katanya, ayam organik mempunyai permintaan tinggi di pasaran terutama baik bagi kanak-kanak yang mengalami masalah kulit, ekzema dan wanita mempunyai masalah hormon.

Ketika ini, perusahaan ayam milik Dr Mohd Yusoff boleh menjual daging ayam organik siap diproses mencecah 2,000 kilogram (kg) sebulan.

Ayam organik Hubbard dijual pada RM23 sekilogram dan Ayam Kampung Jerai iaitu daripada Ayam Kampung Akar Putra hasil kajian Profesor Madya Dr Azhar Kasim dijual RM28 sekilogram.

Jelasnya, pada peringkat awal ayam ternakannya hanya dijual di sekitar Negeri Sembilan, namun kini berkembang sehingga ke Lembah Klang dan Johor.

Bercerita mengenai cabaran membesarkan ayam ternakan sehingga ke peringkat atau tempoh sesuai untuk disembelih mencecah lebih 1.5kg, Dr Mohd Yusoff berkata, peringkat anak paling penting untuk memastikan haiwan itu sihat.

BAYAM liar menjadi bahan makanan semula jadi untuk ayam ternakan.
BAYAM liar menjadi bahan makanan semula jadi untuk ayam ternakan.

"Saya perlu pastikan anak ayam ini tidak mati kerana terdedah kepada keadaan terlalu panas atau hujan. Walaupun haiwan ini mempunyai antibodi yang kuat, potensi untuk mati itu ada.

"Ia kerana pada tahun lalu, hampir 100 ekor anak ayam saya mati kerana musim hujan dan mungkin disebabkan terlalu sejuk," katanya.

Katanya, ayam ternakan juga tidak diberi antibiotik kerana apabila sudah disuntik dengan bahan kimia di dalam badan haiwan itu, ia sudah mengubah kualiti dan khasiat.

"Ayam ternakan saya juga dilepaskan secara bebas di dalam kawasan berpagar supaya tidak diceroboh pemangsa seperti ular dan biawak.

"Malah, setiap jenis ayam mempunyai kawasan bebas mereka tersendiri. Konsep ternakan secara lepas ini membolehkan ayam mencari makanan secara semula jadi dan menyumbang kepada khasiat daging yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:53 AM