PRODUK hiliran untuk optimumkan pendapatan.
PRODUK hiliran untuk optimumkan pendapatan.
BAHARUDDIN bersama ayam kampung kacuk turut viral dengan ayam kanopi.
BAHARUDDIN bersama ayam kampung kacuk turut viral dengan ayam kanopi.
Nurul Husna Mahmud


IDEA menternak ayam kampung dalam kanopi tercetus sebaik perniagaan katering yang diusahakan Baharuddin Mohamed, 45, lebih 12 tahun tidak dapat diteruskan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan.

Pemilik syarikat Dimpiana Enterprise itu mengakui, berbanding binaan yang menelan kos lebih tinggi, dia lebih selesa menggunakan kanopi terpakai sebagai reban bagi memelihara 5,000 ayam.

"Baka ayam kampung hibrid atau kacuk ini tahan lasak dan tidak perlukan reban tinggi seperti kandang kambing. Kalau dilihat pada reban komersial juga, ayam ini dipelihara pada aras tanah.

"Ini kerana sifat semula jadi ayam suka mengais, jadi saya terfikir gunakan kanopi (berukuran 6.1 meter x 6.1 meter) yang sebelum ini saya gunakan dalam perniagaan katering untuk ditukar kepada reban ayam. Daripada dibiarkan mereput kerana disimpan begitu sahaja, lebih baik digunakan untuk perkara lain.

"Saya guna tiga kanopi untuk bela 5,000 ayam kacuk dan hanya penambahan iaitu simen dan pendawaian asas untuk kipas serta lampu bagi memudahkan kerja mengurus ladang," katanya.

Tambah Baharuddin, jika pembinaan reban untuk kapasiti ayam yang sama, dia memerlukan belanja tidak kurang RM100,000 bagi pembinaan reban komersial.

DEDAK berbeza diberikan mengikut usia ayam.
DEDAK berbeza diberikan mengikut usia ayam.

Tetapi, dengan kaedah menggunakan kanopi, dia hanya membelanjakan kos permulaan sekitar RM10,000 bagi infra asas untuk menternak ayam dengan penggunaan kanopi.

"Bunyinya mungkin pelik, membela ayam guna kanopi kerana tiada orang yang memulakannya. Saya sendiri pernah viral gara-gara dirikan reban kanopi dalam ladang sehingga polis datang melawat kerana menyangkakan ada majlis.

"Lama-kelamaan apabila sudah dapat hasil pertama dan dijual kepada penduduk sekitar terutama Batu Pahat dan Muar, Johor mereka mula terima idea saya ini suatu yang unik.

"Malah, sudah menjadi ikutan apabila ada yang mula ternak ayam kecil-kecilan dengan kaedah sama. Pada saya misi untuk didik orang kampung atau peniaga kecil mengenai betapa mudahnya menjana pendapatan menerusi pertanian sudah tercapai," katanya.

Mengenai pemilihan ayam kampung kacuk sebagai ternakan untuk menjana pendapatan, katanya, baka itu direka untuk mengeluarkan hasil yang pantas dengan saiz atau berat daging mampu memenuhi permintaan pasaran.

KANOPI sebagai reban ayam.
KANOPI sebagai reban ayam.

"Ayam kacuk kampung sesuai sebagai ternakan menjana pendapatan kerana kitaran atau pusingan ternak dari anak hingga usia boleh disembelih iaitu kira-kira 70 hari.

"Penjagaan juga tidak rumit dan saya sendiri hanya mengupah seorang pekerja untuk pantau 5,000 ayam. Keperluan ternak ayam kampung baka ini mudah iaitu hanya perlu sediakan makanan dan air mencukupi.

"Jika cuaca terlalu panas seperti di tengah hari, biasanya pekerja akan hidupkan kipas komersial (kipas katering) untuk memastikan pengudaraan baik dalam kawasan reban kanopi terbabit," katanya.

Penting juga memastikan aspek kebersihan iaitu membersihkan kawasan reban setiap dua minggu menggunakan larutan organik serba guna mengandungi mikrob berfaedah (EM) bagi memastikan ayam dalam keadaan sihat.

Berkongsi formula untuk makanan pula, Baharuddin memaklumkan diet disarankan oleh penternak komersial adalah menggunakan tiga dedak berbeza mengikut fasa usia ayam terbabit.

AYAM ditangkap sendiri pelanggan jauh lebih murah.
AYAM ditangkap sendiri pelanggan jauh lebih murah.

"Ayam ini tempoh matang untuk pasaran ialah boleh mencapai berat 1.8 kilogram hingga 2.5 kilogram bergantung kepada permakanan.

"Dalam ladang, amalan saya ialah pada usia sehari hingga 20 hari, saya akan berikan dedak permulaan yang tinggi protein.

"Pada hari ke-21 hingga hari ke-60 pula, dedak biasa dan baki 10 hari pula adalah dedak khas yang dipanggil 'finishing.'

"Secara kasar pengiraan kos untuk setiap ekor ayam, perlukan sekitar empat kilogram dedak dalam tempoh 70 hari dengan anggaran kos RM8.80. Harga ini berubah mengikut harga pasaran dedak antara RM110 hingga RM130 untuk setiap 50 kilogram," katanya.

Ketika ini kata Baharuddin, pasaran ayamnya hanya mampu menampung permintaan jualan langsung terus kepada pelanggan yang datang ke ladangnya.

TEMPAT pemprosesan ayam.
TEMPAT pemprosesan ayam.

"Konsep jualan saya juga lain. Saya tidak pasarkan ke pemborong kerana permintaan sedia ada iaitu dalam kalangan pembeli terdiri daripada orang kampung dan peniaga kecil masih tidak mencukupi.

"Saya tawarkan harga jualan berbeza mengikut kaedah pembelian iaitu RM14 perkilogram bagi produk yang siap proses dan kalau pembeli yang datang serta tangkap sendiri saya kira seekor RM15.

"Mereka boleh beli mengikut bajet sendiri dan saya mahu sediakan produk pertanian sihat serta mampu milik untuk orang kampung," katanya.

Kini Baharuddin turut kembangkan perniagaan ayam kampung apabila mengambil langkah berani dengan memajak ladang komersial bagi memelihara 20,000 ayam kampung.

Dia mengoptimumkan jualan ayam kampung bukan sahaja sebagai daging segar, malah turut menghasilkan produk hiliran iaitu ayam kampung perap madu untuk tingkatkan pendapatan yang sebelum ini terjejas akibat Covid-19.

AYAM diproses juga masih pada harga mampu milik.
AYAM diproses juga masih pada harga mampu milik.

Beliau turut aktif memberi bimbingan kepada petani belia menerusi platform Facebook untuk membantu mereka menjana pendapatan menerusi aktiviti pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 6:20 AM