BAKRI (bersongkok) melihat pameran yang diadakan.
BAKRI (bersongkok) melihat pameran yang diadakan.
Abnor Hamizam Abd Manap

Sebanyak 21 kertas kerja dan tujuh poster dibentangkan dalam persidangan pengurusan biodiversiti, sumber dan perikanan darat selama dua hari di Institut Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI) Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Persidangan itu membolehkan perkongsian maklumat, ilmu dan kepakaran dengan pelbagai pihak antaranya universiti, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkepentingan berkenaan perikanan darat di negara ini.

Pengarah Kanan Penyelidikan FRI Batu Maung Dr Zainoddin Jamari berkata, negara ini mempunyai kawasan perairan darat (ekosistem air tawar) luas merangkumi sungai, tasik, empangan dan bekas lombong yang menjadi sumber ikan air tawar.

Beliau berkata, biarpun pendaratan daripada perikanan darat masih kecil iaitu sekitar 0.5 peratus atau 6,000 tan metrik berbanding lebih 1.5 juta tan metrik dari sektor marin, keadaan ini boleh dipertingkatkan dengan pengurusan yang baik dan sistematik.

“Menerusi persidangan ini, maklum balas dan perkongsian maklumat yang diperlukan dapat diguna seterusnya mengenal pasti status sumber, habitat, ekologi, genetik dan persekitaran.

“Ia menjadikan pengurusan sumber perikanan darat lebih baik,” katanya ketika ditemui di Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Persidangan itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Penyelidikan FRI Glami Lemi Dr Mohd Fariduddin Othman dan Pengarah Perikanan negeri Halimi Abu Hanip.

Zainoddin berkata, empat fokus utama iaitu biodiversiti sungai dan tasik, konservasi dan servis ekosistem, sumber baru akuakultur, ikan asing, impak dan governans, polisi serta dasar dibentangkan peserta persidangan.

Katanya, peserta terdiri daripada penyelidik, saintis, penuntut universiti, pegawai kerajaan dan swasta, NGO selain orang awam yang terbabit dengan pengurusan ekosistem perikanan darat.

SEBAHAGIAN peserta yang hadir.
SEBAHAGIAN peserta yang hadir.

“Persidangan ini diharap dapat membantu dan mengenal pasti status serta keperluan dalam pelbagai aspek pengurusan sumber perikanan darat selain membantu menjamin kelestarian sumber berkenaan untuk generasi akan datang.

“Kami berharap persidangan ini dapat diadakan sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi membolehkan perkongsian maklumat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fariduddin berkata, persidangan julung kali diadakan itu bertemakan jaminan sumber perikanan melalui pengurusan biodiversiti dan ekosistem itu dihadiri peserta dari seluruh negara.

Katanya, empat topik menjadi fokus utama pelbagai isu yang perlu diberi perhatian oleh peserta bagi memastikan sumber perikanan darat terus kekal dan sentiasa ada bagi menjamin sumber protein mudah selain ikan dari laut.

“Topik biodivesiti sungai dan tasik membincangkan teknik terkini bagi pengelasan ikan, kepelbagaian spesies, genetik hingga faktor yang mempengaruhi ikan selain berkongsi pengetahuan berkenaan ikan seperti loma, kelisa dan tengas daun,” katanya.

Halimi berkata, sepanjang 2007 hingga 2017, 136 program pelepasan benih ikan asli dijalankan di perairan umum (sungai dan empangan) di seluruh Negeri Sembilan.

Katanya, lima juta ekor ikan antaranya lampam, baung, puyu, kelah, kerai, terbol, sebarau dan udang galah dilepaskan membabitkan kos RM1.2 juta.

“Bagi tahun ini, pelepasan anak ikan ditetapkan 300,000 ekor dan hingga hari ini 106,710 ekor sudah dilepaskan di perairan umum membabitkan kos RM69,900,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 12:54 PM