SHAHROM (kiri) melepaskan anak ikan jelawat ke kolam ternakan di Penjara Jelebu. FOTO Abnor Hamizam
SHAHROM (kiri) melepaskan anak ikan jelawat ke kolam ternakan di Penjara Jelebu. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Penjara tidak lagi hanya lokasi mengurung banduan malah kini berpotensi dibangunkan sebagai lokasi penternakan ikan air tawar skala besar.

Terbaru Penjara Jelebu di sini, dinobatkan sebagai johan Anugerah Kecemerlangan Bengkel Akaun Amanah Sektor Penternakan Peringkat Jabatan Penjara Malaysia, sekali gus menjadi contoh kepada pengusaha yang baru menceburi bidang akuakultur.

Pegawai Perikanan Daerah Jelebu, Mohd Azhar Jusoh berkata, pihak Penjara Jelebu sentiasa menjadikan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sebagai rujukan utama dalam memastikan penternakan ikan air tawar diusahakan mereka berjaya.

Katanya, kejayaan Penjara Jelebu melaksanakan penternakan ikan keli secara sistematik wajar dicontohi pengusaha baharu yang lain.

"Apabila diurus dengan betul, pihak Penjara Jelebu mampu mengeluarkan sehingga lapan tan ikan keli sebulan yang bukan sahaja untuk kegunaan mereka, tetapi dipasarkan ke kawasan sekitar.

"Berikutan itu, tidak mustahil Penjara Jelebu mampu menjadi pengeluar sumber ikan air tawar secara tetap setiap bulan malah bekalan ikan berkenaan turut dihantar antaranya ke Penjara Kajang, Sungai Buloh dan Seremban.

"Dengan memiliki lapan kolam tanah dan 10 kolam simen, ia turut memberi latihan kemahiran kepada banduan dalam bidang penternakan," katanya kepada Harian Metro selepas program pelepasan 1,000 anak ikan jelawat di penjara berkenaan, tadi.

Hadir sama, Pengarah Penjara Jelebu, Shahrom Mohamad dan Pegawai Penyelidik Institut Perikanan Air Tawar ( FRI) Glami Lemi, Parceval Conder.

Semua anak ikan berkenaan disumbangkan oleh FRI Glami Lemi.

Mohd Azhar berkata, pengusaha baharu perlu belajar dan tidak jemu menimba ilmu akuakultur bagi memastikan bidang diceburi mendatangkan keuntungan.

"Jangan malu untuk menjadi rakan kepada jabatan perikanan kerana kita akan membantu memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada pengusaha yang berminat menceburi bidang penternakan ikan air tawar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 7:34 PM