BAKA ikan koi yang dipelihara didalam tangki sebelum dijadikan induk bagi pembiakan menerusi kaedah aruhan.
BAKA ikan koi yang dipelihara didalam tangki sebelum dijadikan induk bagi pembiakan menerusi kaedah aruhan.
Abnor Hamizam Abd Manap

Ikan koi atau nama saintifiknya Cyprinus Carpio antara ikan hiasan yang menjadi pilihan untuk dibela sama ada di dalam kolam atau akuarium berikutan rupanya yang cantik.

Malah ikan yang berasal daripada keluarga ikan kap dan banyak ditemui di bahagian Tengah Eropah dan Asia ini dipercayai mula dipelihara kebanyakan petani di Jepun sekitar 1700- an.

Menariknya, ia antara ikan yang jinak dan mudah mesra dengan manusia, malah ikan ini boleh makan makanan yang diletak di tangan menyebabkan ia menjadi pilihan untuk dibela.

Namun tidak ramai yang tahu di negara kita terdapat Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi iaitu agensi di bawah Jabatan Perikanan yang turut menjalankan penyelidikan ikan koi.

FRI Glami Lemi memulakan penyelidikan ikan koi sejak 2014 dan ketika itu mengimport 20 ekor ikan berkenaan dari Jepun yang sememangnya terkenal dengan pelbagai varieti ikan koi.

Pegawai Penyelidik Dr Chew Poh Chiang berkata, pada 2015 FRI Glami Lemi berjaya melakukan pembiakan ikan koi secara aruhan iaitu satu kaedah merangsang kematangan induk ikan untuk membiak pada masa yang ditetapkan.

Katanya pembiakan ikan melalui teknik aruhan dapat mempercepatkan proses kematangan dan ovulasitelur, meningkatkan kadar hidup anak ikan dan mempercepatkan pengeluaran benih ikan secara besar-besaran.

"Teknik aruhan antara kaedah paling mudah dan semua aktiviti pembiakan dijalankan di Pusat Pembiakan Nukleus (NBC) FRI Glami Lemi iaitu antara satu-satunya yang ada di Malaysia bagi menjalankan aktiviti pembiakan ikan koi.

POH Chiang (tengah) menunjukkan induk ikan koi yang dibela di FRI Glami Lemi.
POH Chiang (tengah) menunjukkan induk ikan koi yang dibela di FRI Glami Lemi.

"NBC berfungsi membangunkan baka ikan koi terpilih, khususnya bebas penyakit Koi Herpes Virus (KHV) dan Spring Viraemia of Carp Virus (SVC).

Poh Chiang berkata, NBC juga berperanan mengagihkan baka ikan koi terpilih yang dihasilkan kepada pengusaha koi yang memiliki ladang bertaraf MyGap/FQC dan sebagai pusat rujukan nasional bagi baka bebas penyakit KHV dan SVC.

Katanya, industri eksport ikan koi Malaysia pernah menerima tamparan besar dan menjadi lumpuh apabila negara ini disenaraikan sebagai negara larangan eksport ikan koi ke negara Kesatuan Eropah pada 2008 berikutan ikan berkenaan dikesan dijangkiti KHV.

Menurutnya antara usaha dilakukan Jabatan Perikanan untuk memulihkan industri berkenaan dengan pembukaan NBC koi bebas penyakit di FRI Glami Lemi pada 2015.

Jelasnya program pembenihan secara berkala (kaedah) aruhan, penyediaan pelan bioskuriti, prosedur operasi standard (SOP), permohonan pendaftaran hatceri NBC dan permohonan akreditasi pensijilan Malaysian Good Agricultural Practise dan Fish Quality Certification (MyGap/FQC) sudah dilaksanakan pada 2016.

"Di sini kakitangan akan melakukan pemantauan rapi kualiti tangki air ternakan koi yang sangat diambil berat dan kualiti air setiap dipantau dan diganti apabila mencapai tahap optimum untuk ikan koi.

TANGKI pengeraman dan penetapan telur ikan koi.
TANGKI pengeraman dan penetapan telur ikan koi.

"Pemeliharaan induk ikan, pembenihan, asuhan, ternakan, penggredan, pemilihan baka dan pembungkusan dijalankan seratus peratus di NBC koi FRI Glami Lemi," katanya.

Poh Chiang berkata, antara variati ikan koi yang ada di NBC FRI Glami Lemi adalah Kohaku, Showa, Utsuri, Doitsu dan Shusui.

Katanya sejak beroperasi puluhan ribu benih ikan koi sudah diserahkan kepada pengusaha swasta yang layak untuk dibiakkan dan kelazimannya pihak jabatan akan melihat fasiliti sebelum benih ikan diberi.

"Secara amnya ikan koi tidak rumit untuk diternak, namun ikan ini sensitif terhadap kebersihan air dan air perlu ditukar walaupun ia kelihatan bersih.

"Apabila kita melihat ikan antaranya berada di atas permukaan air, berkumpul di tempat air masuk dan dalam keadaan tercungap-cungap serta mengalami bengkak pada kulit dan insang serta kurang selera makan itu menandakan kualiti air yang sudah merosot dan perlu diganti," katanya.

Sudah semestinya kewujudan NBC FRI Glami Lemi akan menjadi tempat rujukan rasmi bagi pengusaha ikan koi sekali gus membolehkan Malaysia menjadi pengeksport utama ikan koi di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 6:30 AM