Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Biarpun ada segelintir individu yang tidak berselera memakan 'ikan darat' atau dikategorikan ikan air tawar, namun hakikatnya harga pasaran spesies tertentu ikan air tawar in terus melambung tidak masuk akal.

Ada yang menyifatkannya ikan kayangan apabila harga beberapa spesies sukar ditemui boleh menjangkau sehingga ribuan ringgit sekilogram apatah lagi selepas dimasak sebagai hidangan eksotik mewah.

Spesies ikan air tawar yang hidup meliar dalam sungai utama di negara ini semakin meningkat harganya susulan pelbagai faktor antaranya isu kepupusan dan kesukaran memperoleh bekalan daripada nelayan darat.

Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Air Tawar Glami Lemi, Muhamad Zudaidy Jaapar berkata, ikan air tawar seperti kelah merah, empurau atau kelah Sarawak, temoleh, krai,tengalan, ketutu dan baung tempatan antara ikan air tawar yang boleh menyebabkan penggemarnya perlu melihat isi dompet sebelum membelinya.

Malah menurutnya, spesies ikan liar seperti patin muncung, patin buah dan jelawat putih Sungai Pahang antara yang kian sukar diperoleh menyebabkan harganya turut mencecah ratusan ringgit bagi setiap kilogram.

"Tidak hairanlah media sebelum ini kerap melaporkan rungutan pelanggan restoran yang terkejut dan perlu membayar ribuan ringgit selepas menjamu selera di kedai menjual masakan ikan air tawar ini," katanya.

Katanya, hidangan ikan air tawar liar dikategorikan sebagai makanan mewah dan eksklusif berdasarkan kesukaran diperoleh, keunikan rasa dan spesies.

"Seperti ikan ketutu yang mempunyai fizikal hodoh, namun ikan ini dijual antara RM100 hingga RM200 sekilogram di pasaran kerana ada peminat tersendiri.

"Harga ikan kelah pula boleh mencecah sehingga RM750 sekilogram, patin muncung boleh menjangkau RM300 sekilogram manakala temoleh, krai dan tengalan dianggarkan berharga RM50 sehingga RM200 sekilogram," katanya dalam satu kenyataan.

IKAN krai yang mempunyai harga yang tinggi di pasaran.
IKAN krai yang mempunyai harga yang tinggi di pasaran.

FRI usaha biak spesies bernilai tinggi

Dalam usaha memastikan spesies ikan kayangan ini terus hidup dan tidak pupus, Institut Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI) Glami Lemi di Titi, Jelebu, Negeri Sembilan berperanan dalam membangunkan baka bagi spesies bernilai tinggi ini.

Spesies dihasilkan melalui teknik akuakultur ini dapat mengurangkan kebergantungan pengguna kepada sumber liar.

Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Air Tawar Glami Lemi, Muhamad Zudaidy Jaapar berkata, penyelidikan terhadap ikan air tawar membabitkan beberapa spesies seperti kelah, patin buah, krai, temoleh dan baung perlu dilakukan berterusan berikutan permintaan tinggi di pasaran.

"Kebanyakan ikan yang menjadi penghuni asal sungai sekitar negeri Pahang mempunyai harga 'menggerunkan' di pasaran, apatah lagi jika ditangkap secara semula jadi.

"Beberapa spesies ikan yang dibiak di FRI Glami Lemi akan dilepaskan ke habitat semula jadi di beberapa sungai berhampiran pada waktu tertentu dan bergantung kepada penghasilan anak ikan daripada telur induk ikan," katanya.

Muhamad Zudaidy berkata, penyelidikan terhadap ikan yang diancam kepupusan seperti ikan temoleh perlu dilakukan secara berterusan berikutan spesies ini disenaraikan jarang didapati oleh Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN).

Menurutnya, usaha itu perlu dilakukan secara berterusan dan serius bagi memastikan spesies ikan berkenaan terus wujud di sungai tempatan.

"Faktor harga yang tinggi menjadi penyebab ikan berkenaan semakin sukar diperoleh. Namun saya percaya kaedah biak dan lepas akan dapat memastikan generasi ikan ini terus kekal di habitat asal sekali gus memastikan kelestarian ikan asli sungai tempatan," katanya.

Menurutnya, FRI Glami Lemi akan menjadi 'Bank Genetik' ikan sungai asli bagi negara apatah lagi FRI Glami Lemi adalah satu- satunya pusat penyelidikan ikan air tawar di negara ini.

Tak kisah mahal asal sedap

"Biarpun mahal namun masih ada pelanggan VIP yang sanggup membayar pada harga tinggi bagi merasai kelazatan masakan ikan kelah dan patin buah," ujar pemilik Restoran Tok Gajah, Abd Rahman Ibrahim.

Menurutnya, hidangan masakan ikan asli sungai mendapat permintaan tinggi pelanggannya hingga ada antara mereka perlu membuat tempahan awal.

"Hidangan ikan kelah liar kebiasaan ditempah oleh golongan VIP berikutan harganya yang amat mahal. Kebiasaan tempahan perlu dilakukan seawal tiga hingga lima hari.

"Amat jarang orang kebanyakan menempah masakan ikan berkenaan disebabkan harganya yang boleh menjangkau sehingga RM300 sekilogram," katanya.

Pemilik Restoran Tok Gajah, Abd Rahman Ibrahim di Temerloh menunjuk gulai ikan krai yang dijual.
Pemilik Restoran Tok Gajah, Abd Rahman Ibrahim di Temerloh menunjuk gulai ikan krai yang dijual.

Menurutnya, dia perlu menempah ikan berkenaan daripada nelayan sungai yang berada sekitar daerah ini bagi mendapatkan bekalan ikan kelah atau patin buah liar.

"Berbanding ikan krai, spesies itu lebih mudah diperoleh apabila ada penternak yang membela ikan itu di dalam sangkar.

"Ikan krai liar semakin sukar diperoleh dipercayai mengalami kepupusan. Ketika ini harga ikan krai sangkar boleh mencecah RM60 sekilogram. Rasa dagingnya tetap sama seperti ikan krai liar," katanya.

Dia berkata, terdapat ramai penternak yang menternak pelbagai spesies ikan sungai menggunakan sangkar di sungai Pahang, sekali gus memastikan kestabilan bekalan ikan.

Abd Rahman berkata di restorannya, sepotong ikan krai siap dimasak dijual antara RM40 hingga RM45 seketul bergantung kepada saiz.

"Selain hidangan ikan Krai, saya turut menjual gulai udang galah dan ikan baung," katanya.

Bahaya 'ikan asing'

Pencerobohan 'ikan asing' seperti spesies baung ekor merah, keli Afrika, ikan peacock bass, kerapu lombong dan ikan aligator gar antara punca kepupusan pelbagai ikan spesies tempatan di negara ini.

Sungai utama di negara ini dipercayai sudah menjadi tempat tinggal beberapa spesies ikan luar yang lahap memakan spesies ikan tempatan berikutan sifat karnivor ataupun omnivor dimiliki.

Jurucakap Jabatan Perikanan Malaysia berkata, ikan baung ekor merah berasal dari negara jiran, Thailand pada awalnya dibawa secara tidak sah untuk diternak di dalam sangkar atau kolam.

Katanya, kadar tumbesaran ikan baung ekor merah yang pantas dan memakan apa sahaja ikan tempatan dianggap ancaman terbesar.

"Ikan ini menjadikan ikan asli sungai negara kita sebagai diet utamanya. Apabila ikan ini terlepas ke sungai disebabkan pelbagai faktor seperti bencana banjir, sangkar pecah atau air kolam melimpah, 'ikan asing' ini boleh mengadaptasi sungai kita dengan cepat dan berupaya membiak dengan baik.

Ikan baung ekor merah yang berjaya dipancing ketika program memburu ikan berkenaan oleh Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di Sungai Triang.
Ikan baung ekor merah yang berjaya dipancing ketika program memburu ikan berkenaan oleh Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di Sungai Triang.

"Ikan baung ekor merah ini turut akan memakan anak ikan dan udang yang terdapat di dalam sungai menyebabkan ikan asli tempatan terancam serta akan pupus jika dibiar berterusan," katanya dalam satu kenyataan.

Pelbagai pihak termasuk orang ramai perlu memastikan perairan umum di negara ini bebas 'ikan asing' termasuk tidak membuangnya ke dalam sungai.

Sementara itu, Ketua Daerah Perikanan Jelebu Mohd Azhar Jusoh berkata, ikan baung ekor merah hanya memerlukan tempoh enam bulan bertukar menjadi ikan gergasi dengan berat melebihi 10 kilogram.

"Hanya dengan cara memancing atau memasang tajur dapat mengurang dan menghapuskan ikan asing ini.

"Justeru program memburu baung ekor merah yang akan dilaksanakan pada 29 Julai ini bagi menghapuskan ikan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 12:00 PM