GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


JABATAN Perikanan Negeri Sembilan bersama Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI) Glami Lemi akan melaksanakan projek perintis ternakan ikan keli integrasi di sawah padi pada Ogos depan.

Pegawai Penyelidik Kanan FRI Glami Lemi, Haslawati Baharuddin berkata, projek perintis berkenaan akan dilaksanakan di Kampung Sungai Buloh, Simpang Durian, Jelebu.

Katanya, ia berikutan ada negara seperti Bangladesh berjaya menternak ikan keli di dalam petak sawah malah turut menternak udang galah di sawah.

"Kita sudah berjumpa dengan tiga pengusaha sawah dan mereka bersetuju untuk menjayakan projek perintis ini.

"Sebagai permulaan, kita akan laksanakan projek di tiga petak sawah sebelum diperluaskan jika berjaya," katanya hari ini.

Haslawati berkata, anak ikan akan dilepaskan ketika padi ditanam dan ditangkap sebelum padi dituai.

Katanya, ikan keli didapati lebih sesuai diternak di dalam petak sawah berikutan cepat membesar selain ia juga popular di negeri ini.

"Jika berjaya, ia akan turut menambah pengeluaran ikan air tawar yang turut mendapat permintaan tinggi.

"Pesta mengoca dan memancing yang membabitkan komuniti setempat boleh diadakan ketika musim menuai berikutan terdapat banyak ikan," katanya.

Haslawati berkata, berdasarkan laporan pesawah pula, ikan keli turut membantu mengurangkan populasi serangga perosak dan pihaknya sedang mengkaji perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 12:55 PM