IBADAT puasa mengajar Muslim supaya sentiasa  beristiqamah dalam kehidupan seharian.
IBADAT puasa mengajar Muslim supaya sentiasa  beristiqamah dalam kehidupan seharian.
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

TIDAK berapa lama lagi, bulan Ramadan akan melabuhkan tirainya. Setelah melaksanakan ibadat puasa sebulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Allah, setiap Muslim seharusnya dapat merasai kesan dan hikmah yang sedia terhampar sepanjang bulan yang penuh keberkatan itu. Secara umumnya, setiap Muslim bertakwa yang dapat menjalani ibadat puasa dengan sabar pastinya akan meraih keistimewaan dan kelebihan yang disediakan Allah.

Selanjutnya, setiap Muslim yang bertakwa pastinya akan memanjatkan jutaan syukur ke hadrat Ilahi kerana di samping mereka dapat melaksanakan ibadat puasa, mereka juga dapat mengerjakan ibadat-ibadat lain seperti solat Tarawih, Witir, bertadarus al-Quran, solat Tahajud, bersedekah, mengeluarkan zakat fitrah dan zakat harta, berpuasa sunat enam Syawal dan lain-lain amalan sunat yang digalakkan Islam. Ucapan syukur yang meniti di bibir orang yang beriman ini sudah tentulah bersandarkan kepada ganjaran pahala yang berlipat ganda yang dijanjikan Allah sepanjang Ramadan yang mulia. Dengan erti kata lain, amalan-amalan sunat ditingkatkan Allah Taala pahalanya kepada amalan fardu, sementara amalan fardu pula dilipatgandakan pahalanya sehingga 70 kali ganda.

Di samping itu juga, setiap Muslim yang menjalani ibadat puasa akan menyedari betapa tahap kesihatannya semakin baik dan sekali gus akan lebih bertambah lagi darjat kesyukurannya kepada Allah yang Maha Esa. Ini kerana dia berjaya dalam menghadapi ujian ibadat puasa sehingga berupaya menepati jaminan Rasulullah dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat."  (Hadis riwayat Tabrani)

Maksud hadis Baginda jelas menyimpulkan bahawa setiap Muslim yang menjalani ibadat puasa dengan penuh keimanan dan penuh kesabaran selaras dengan tuntutan syarak, tahap kesihatannya akan bertambah mantap, berat badannya pula sudah tentu akan menurun, sekalian penyakit yang sentiasa menghantui manusia akan terkawal dengan baik. Demikianlah antara objektif ibadat puasa yang disyariatkan Allah kepada umat Islam supaya kesihatan mereka terjamin dan seterusnya dapat menikmati kehidupan dengan sejahtera dan sentosa pada setiap masa.

Selain itu, Ramadan juga mengajar umat Islam akan peri pentingnya solidariti atau hubungan ukhuwah yang jitu antara sesama umat Islam terutama kesedaran dalam membantu golongan fakir miskin. Dengan erti kata lain, ibadat puasa mendidik setiap Muslim supaya turut sama merasai kelaparan dan kehausan yang akan memberikan satu pengalaman berharga kepada Muslim tersebut tentang betapa peritnya penderitaan yang terpaksa dialami oleh golongan fakir miskin yang belum tentu lagi terjamin makanan sehariannya.

Walau bagaimanapun, pengalaman lapar dahaga yang dihadapi oleh kita semua akan segera berakhir hanya beberapa jam sahaja, sedangkan penderitaan yang menghimpit golongan fakir miskin dan golongan yang kurang berkemampuan entah bila akan berakhir.

Oleh sebab itulah, Islam amat menganjurkan umatnya supaya memberikan sumbangan, derma, sedekah, zakat dan amalan sosial yang lain kepada golongan tersebut. Dengan ini, Ramadan bukan sahaja berupaya memantapkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan ummah sejagat, malahan amalan sosial tersebut berperanan membebaskan umat Islam daripada kotoran jiwa yang berkaitan harta benda seperti tamak harta, kikir dan lain-lain lagi penyakit jiwa. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu akan menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Taubah, ayat 103)

Bagi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah, mereka akan sentiasa merebut peluang keemasan yang sedia terhampar sepanjang Ramadan supaya mereka dapat menjana ketakwaan dan keimanan mereka ke hadrat Allah. Hadirnya Ramadan dalam kamus kehidupan mereka merupakan satu khabar gembira yang sangat dinantikan dan dirindui sekian lama.

Sebaliknya, berlalunya Ramadan merupakan satu detik perpisahan yang amat memilukan bagi orang-orang yang beriman sebagaimana terungkap dalam satu hadis Rasulullah yang bermaksud: "Seandainya sekalian manusia mengetahui kebaikan yang melimpah ruah di dalam bulan Ramadan, nescaya mereka akan mengharapkan supaya Ramadan berlaku sepanjang tahun." (Hadis riwayat Ibnu Abi al-Dunya)

Lebih jauh daripada itu, ibadat puasa juga bermanfaat untuk memantapkan jiwa. Ini kerana setiap insan yang menelusuri pentas kehidupan ini tidak sedikit yang hidupnya dikendalikan oleh hawa nafsunya. Oleh itu, mereka sentiasa tunduk kepada runtunan keinginan hawa nafsu biarpun keinginannya itu menjurus kepada perkara yang dilarang Allah yang akhirnya mereka terjerumus ke lembah kedurhakaan kepada Allah. Sehubungan itu, Islam memerintahkan umat Islam supaya berpuasa dalam usaha mengendalikan hawa nafsu supaya sentiasa berada di atas landasan yang benar.

Dalam konteks ini, ibadat puasa mengajar Muslim supaya sentiasa  beristiqamah dalam kehidupan seharian. Perlu diinsafi sifat istiqamah dalam istilah Islam adalah kunci kejayaan seseorang Muslim dalam menjalani kehidupan di dunia ini yang penuh onak dan duri dan seterusnya mengecapi kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.

Menurut Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitab Hidayah al-Mursyidin beliau menegaskan bahawa istiqamah ialah satu keadaan yang konsisten atau beriltizam dalam menuruti sunah yang ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW, berakhlak dengan akhlak yang diredai Allah Taala dan sikapnya serta tindakannya jauh daripada pengaruh hawa nafsu. Sebab itulah orang yang dikuasai hawa nafsu, mata hatinya menjadi buta. Akibatnya, dia tidak dapat membezakan antara yang sunah dengan yang bidaah dan  yang baik dengan yang buruk. Bahkan yang sering terjadi adalah sebaliknya, perkara bidaah dianggap sunah, sunah pula dikira sebagai bidaah, yang salah dikatakan benar dan yang benar dianggap salah pula.

Yang paling menggerunkan, apabila manusia yang kalah dalam perjuangan memerangi hawa nafsu, maka mala petaka besar akan berlaku. Ini kerana hawa nafsu mampu mengubah ibadah seseorang hamba kepada Allah Taala yang Maha Esa kepada ibadah menuruti hawa nafsu yang sentiasa cenderung mengarahkan manusia ke arah kesesatan dan kebatilan.

Selanjutnya, Syeikh Ali Mahfuz menjelaskan untuk sampai kepada darjat istiqamah yang sebenarnya, seseorang Muslim seharusnya melalui dua peringkat awalan iaitu al-taqwim yang membawa maksud melatih jiwa dengan memperelokkan anggota badan dan amal perbuatan supaya berpaksikan perasaan takut dan mengharap keredaan Ilahi sehingga amal kebajikan dan ketaatan menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian.

Keduanya al-iqamah yang bermaksud mendisiplinkan jiwa dan menyucikan hati daripada akhlak tercela dan penyakit hati yang keji seperti iri hati, dengki, sombong, ujub, nifaq dan penyakit hati yang terlarang.

Setelah mencapai kedua-dua martabat tersebut, barulah seseorang Muslim dapat menjejakkan kaki ke darjat istiqamah yang merupakan antara ciri-ciri Muslim sejati yang bertakwa di sisi Allah. Apabila istiqamah mula bertapak kukuh di jiwa seseorang Muslim, takwanya hidup subur mewarnai hidupnya biarpun Ramadan sudah berlalu, amal ibadat tetap terlaksana dengan sebaik mungkin walaupun di dalam sebelas bulan Islam yang lain dan akhlaknya terus mantap memerangi syaitan dan hawa nafsu semasa menelusuri pentas hidup yang penuh pancaroba ini.

Hendaknya janganlah iman, takwa dan akhlak terpuji itu hanya menyerlah sepanjang Ramadan sahaja sebagaimana berbuahnya buah-buahan pada musimnya. Sedangkan iman, takwa dan akhlak sebenarnya tidak bermusim, sebaliknya ia tetap subur dan mekar pada sepanjang masa tanpa mengenal tempat dan ketika. Dari itu, betapa pentingnya istiqamah menghiasi hidup seseorang Muslim supaya dia sentiasa berada di atas landasan yang benar di bawah keredaan Ilahi jua dan seterusnya menikmati kebahagiaan yang sejati di syurga Allah pada hari akhirat kelak.

Penulis Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 6:00 AM