FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Izham Hakimi Redzan

Agama Islam mengajarkan kepada pembentukan akhlak yang mulia kepada seluruh umat manusia. Di antara perkara yang menunjukkan kepada akhlak yang terpuji adalah memelihara lidah dan tutur kata.

Sesungguhnya lidah adalah salah satu anggota yang paling berbahaya pada batang tubuh manusia. Jenayah lidah adalah seburuk-buruk jenayah. Di antara jenayah yang paling besar yang boleh dilakukan oleh lidah adalah 'ghibah' yakni mengumpat dan bercakap aib seseorang di belakangnya. Dosa ini boleh membawa kepada seseorang itu menjadi muflis dan bankrup pada Hari Kiamat kelak dengan menghabiskan semua pahala yang dilakukannya secara keseluruhan. Nabi SAW bersabda di dalam sebuah hadis riwayat Muslim: "(Tidakkah kamu mengetahui siapakah orang muflis? Maka berkata para sahabat: Muflis itu orang tidak mempunyai wang dan harta. Berkata Nabi SAW: Orang muflis itu adalah golongan yang datang pada hari kiamat dengan kebaikan-kebaikan yang besar dan amal-amal yang soleh yang banyak seperti; solat, puasa dan zakat. Namun golongan ini dahulunya telah mencela (mengata) kepada si fulan, memukul si fulan, mengambil harta si fulan, menuduh si fulan, menumpahkan darah si fulan. Maka datanglah kepada orang muflis ini si fulan dan si fulan mengambil kebaikanya sehinggalah kebaikanya habis. Selepas itu, diambil pula keburukan orang-orang tersebut dipalitkan kepada si muflis ini. Kemudian dia akan dilemparkan ke dalam neraka)."

Allah SWT di dalam al-Quran telah menggambarkan orang yang tidak menjaga lidahnya dengan seperti pemakan daging saudaranya yang telah mati. Firman Allah SWT: "Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang)." (Al-Hujurat, ayat 12)

Di dalam ayat ini kenapa Allah SWT melarang 'mengintip' selepas itu Allah SWT melarang 'mengumpat? Hal ini kerana barang siapa yang suka mengintip dan mengetahui aib manusia maka perkara ini boleh menjerumuskan seseorang tersebut ke dalam dosa mengumpat iaitu al-ghibah. Adapun sesiapa yang menyibukkan diri dengan aib dirinya maka dia akan selamat daripada mengintip dan mengata.

Di dalam satu hadis diriwayatkan oleh Imam Al-Bazzar daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda: "Bergembiralah barang sesiapa yang menyibukkan diri dengan aib dirinya sendiri daripada menyibukkan diri dengan aib-aib orang lain."

Daripada Ibnu Abbas beliau berkata: "Pada malam Nabi SAW diangkat ke langit (yakni malam isra' dan mikraj) baginda melihat ke arah suatu kaum yang memakan bangkai, lantas baginda berkata: "Wahai Jibril! Siapakah golongan ini? Jibril AS berkata: "Mereka ini adalah golongan yang memakan daging manusia (yakni golongan yang suka mengumpat orang)."

Disebabkan dosa lidah salah satu dosa yang berat para  salafussalih  dahulu banyak berdiam daripada banyak bercakap, sehinggakan diceritakan bahawa salah seorang daripada mereka berkata: "Aku belajar berdiam dengan satu batu kerikil yang aku letakkan di dalam mulutku selama tiga puluh tahun. Jika aku ingin menyebut satu perkataan maka batu tersebut akan menyakitkan lidahku, maka aku akan diam."

Perkara yang diceritakan ini sesuai dengan sabda Nabi SAW dengan sebuah hadis di dalam Sahih Al-Bukhari yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam."

Menjaga lidah daripada perkara buruk banyak faedahnya, antaranya:

Pertama:  Diam itu adalah alamat kepada baiknya anggota tubuh seseorang tersebut (kaki, tangan, mata, telinga) daripada melakukan dosa. Kebiasaanya, jika lidah itu tidak selamat daripada dosa maka anggota lain juga turut melakukan dosa.

Kedua:  Jika akal seseorang itu merupakan akal yang matang maka kuranglah percakapanya, sebaliknya apabila akal seseorang itu akal yang jengkal dan cetek maka banyak pula percakapanya.

Ketiga:  Alamat yang menunjukkan seseorang hamba itu adalah seorang hamba yang soleh adalah kesucian hatinya. Maka, tidak sucinya hati seseorang hamba tersebut dengan terjaga lidahnya daripada perkara yang buruk.

Keempat:  Diam itu adalah mahkota bagi orang alim dan perlindungan bagi orang jahil. Mahkota bagi orang berilmu kerana dengan banyak bercakap boleh membawa orang berilmu tersebut kepada perasaan riyak dan bangga diri. Adapun pelindungan bagi orang yang jahil kerana dengan kurang bercakap dapat melindungi orang jahil tersebut daripada diketahui bahawa dia tidak mengetahui.

Oleh yang demikian, disebutkan di dalam satu kata-kata hikmah: "Belajar untuk berkata 'aku tidak tahu', jika engkau berkata: "Aku tidak tahu" maka manusia akan mengajar engkau sehinggalah engkau mengetahui. Elakkan untuk berkata: "Aku mengetahui", apabila engkau berkata perkataan "aku yang mengetahui" manusia akan bertanya kepada engkau sehinggalah engkau tidak tahu."

Maka, ketahuilah bahawasanya taubat itu adalah daripada akhlak orang Mukmin dan tanda kepada kecintaan kepada Allah SWT dan Rasulnya. Allah SWT suka hamba-Nya jika melakukan dosa dan terus kembali bertaubat kepada-Nya. Allah SWT berfirman: "Allah SWT suka hambanya yang bertaubat." (al-Baqarah: 220)

Di dalam ayat yang lain pula Allah SWT berfirman: "Tuhan kamu telah menetapkan bagi diri-Nya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani)." (al-An'am, ayat 55)

Oleh yang demikian, ketahulilah taubat disyaratkan padanya tiga perkara:

Pertama: Menyesali dosa yang dilakukan kerana takut akan azab dan celaan Allah SWT.

Kedua: Berazam untuk tidak kembali kepada dosa yang telah dilakukan.

Ketiga: Meninggalkan dosa tersebut dengan keadaan segera dan tidak menangguhkanya.

Di sini timbul satu persoalan, patutkah seseorang yang mengumpat orang lain melepaskan diri daripada dosa tersebut dengan meminta maaf kepada orang yang diumpati itu ataupun tidak?

Kebanyakan daripada ulama dan sarjana berpendapat bahawa jika orang yang diumpat itu mengetahui dia telah diumpat dan dengan apa yang diumpat, maka orang yang mengumpat tersebut perlu dan mesti pergi kepadanya (yakni: orang yang diumpat) memohon daripadanya kemaafan sehinggalah dia memaafkanya. Jika dia tidak mahu memaafkan, maka berdoalah dia kepada Tuhan Yang Maha Kuasa orang tersebut (yakni orang diumpat tadi) meredainya dan memaafkanya pada Hari Kiamat kelak. Selain itu, dianjurkan juga kepada orang tersebut supaya memohon ampun kepada Allah SWT dan memperbanyakkan berdoa.

Diantara doa-doa yang dianjurkan yang dapat mengampun dosa yang kita boleh amalkan dalam kehidupan seharian kita:

Pertama:  Doa Istighfar

Kedua:  Sayyid al-Istighfar (yakni: Doa penghulu segala al-Istighfar)

Ketiga:  Doa Kaffaratul Majlis

Penulis Alumni Institut Dar Hadith Hassania Universiti Al-Qarawiyyin, Maghribi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 7:00 AM