AMIRUDDIN (kanan) mengiringi Nawawi (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak. FOTO Hamzah Osman
AMIRUDDIN (kanan) mengiringi Nawawi (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Semua kanak-kanak Islam di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) seluruh negara akan dilatih menghafal al-Quran menerusi Program Penghayatan Islam (PPI).

Ketua Pengarah KEMAS, Amiruddin Ariffin berkata, langkah itu sebagai penambahbaikan kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang sedang dilaksanakan di semua Tabika terbabit.

"Pada peringkat awal, kita memilih 6,000 Tabika KEMAS untuk melaksanakan projek perintis PPI dalam usaha memantapkan pembangunan pendidikan Islam di institusi awal itu.

"Setiap Tabika yang dipilih perlu menambah masa sejam setiap hari persekolahan untuk melaksanakan PPI dengan matlamat kanak-kanak terbabit dapat menghafal sekurang-kurangnya 10 surah lazim," katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Potensi Kanak-kanak Tabika KEMAS Parlimen Langkawi di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad yang turut dihadiri Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Pengarah KEMAS Kedah, Che Kamaruddin Che Ismail.

Amiruddin berkata, bagi melaksanakan program itu, semua guru Tabika KEMAS seluruh negara sudah dilatih dan mereka sudah bersedia melaksanakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 5:00 PM