Antara kanak-kanak tabika KEMAS yang menyertai acara selawat beramai-ramai di Masjid Sultan Yahya Petra, Machang hari ini. FOTO Siti Nadzirah Che Mud
Antara kanak-kanak tabika KEMAS yang menyertai acara selawat beramai-ramai di Masjid Sultan Yahya Petra, Machang hari ini. FOTO Siti Nadzirah Che Mud
Siti Nadzirah Che Mud
am@hmetro.com.my


SERAMAI 1,000 kanak-kanak tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Machang menyertai acara selawat beramai-ramai di Masjid Sultan Yahya Petra, Machang hari ini.

Program itu anjuran tabika KEMAS diadakan serentak di seluruh Malaysia, selama 30 minit untuk mengalunkan Selawat Nabi, Selawat Badriyah, Selawat Shifa dan zikir Asma Ul Husna.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob hadir menyempurnakan majlis terbabit.

Katanya, penganjurannya adalah kesinambungan daripada program Transformasi Tabika Kemas melalui Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) yang dilancarkan, Ogos lalu.

"Ia bagi menerap dan memperkukuhkan penghayatan dan amalan pendidikan Islam dalam kalangan kanak-kanak, yang mana ia memberi fokus kepada dua aspek utama iaitu al-Quran dan ibadah.

"Malah, kita juga menekankan aspek memupuk rasa kecintaan kanak-kanak terhadap Rasulullah S.A.W, dan agama" katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Kemas Berselawat peringkat Kelantan 2017.

Hadir sama, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Amiruddin Ariffin.

Selain Kelantan, program itu turut diadakan serentak di lima zon iaitu Perak, Kuala Lumpur, Johor, Terengganu dan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 1:27 PM