Dr Azri Bhari

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS 'Khalil al-Allah' dan anaknya, Nabi Ismail AS saban tahun ketika musim Hari Raya Aidiladha sering diulang dan diperdengarkan untuk dijadikan teladan dan pengajaran.

Semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS bersama keluarga meninggalkan kesan amat mendalam dan memberikan inspirasi keimanan yang kekal abadi dalam coretan lakaran sejarah umat Islam.

Selayaknya martabat Nabi Ibrahim AS diangkat di sisi Allah SWT dan dianugerahkan gelaran rasul Ulul 'Azmi lantaran kejayaan menempuh ujian berat keimanan sepanjang kehidupan dalam menyampaikan risalah kenabian.

Sewajarnya juga, umat Islam setiap hari menyebut nama Nabi Ibrahim AS dalam solat untuk menghayati bukan sahaja kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan penuh keinsafan, bahkan mempelajari seluruh dimensi dan sejarah hidupnya yang sarat dengan perjuangan.

Ada pelbagai pengajaran dan pelajaran yang boleh diambil daripada kisah keluarga Nabi Ibrahim AS supaya dapat memahami keberadaan dalam dunia ini bukan sia-sia melainkan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Pertama, ujian pasti menerpa dalam hidup setiap insan. Ujian adalah daya ketahanan iman seseorang terhadap dugaan lahir dan batin yang menimpa serta sudah pasti memiliki hubung kait dengan kehidupan kekal abadi di alam akhirat kelak.

Setiap manusia yang bergelar hamba Allah tidak terlepas daripada menghadapi ujian. Ujian datang kepada semua golongan sama ada kecil atau besar, tua atau muda, beragama Islam atau kafir, kaya atau miskin semuanya pasti akan diuji.

Pastinya setiap orang yang mengaku beriman akan diuji Allah SWT. Nabi dan Rasul adalah orang yang paling banyak dan hebat menerima ujian daripada Allah SWT walaupun terpelihara daripada melakukan dosa berbanding manusia biasa yang banyak melakukan dosa kerana lalai, leka dan alpa.

Ujian yang ditimpakan Allah SWT kepada hambanya adalah berbentuk musibah dan nikmat yang kedua-duanya adalah bergantung kepada kemampuan manusia terbabit menerimanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman' sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta." (Surah al-'Ankabut: 2-3)

Baik musibah mahupun nikmat, pastinya ujian daripada Allah SWT adalah peringatan, teguran, penghapusan dosa dan untuk mengangkat darjat manusia sekiranya manusia terbabit akur, patuh serta kembali bertakwa kepada Allah SWT.

Kedua, melaksanakan ibadah dengan penuh keikhlasan. Setiap orang yang beriman perlu melaksanakan ibadah secara ikhlas dengan tidak mengharapkan sebarang imbuhan melainkan keredaan Allah SWT.

Ada segelintir masyarakat Islam yang ketika melakukan sesuatu amalan, tetapi tidak memperoleh satu kebaikan pun kerana amalannya tidak didasari dengan keikhlasan dalam hati dan mengharapkan keredaan Allah SWT.

Ikhlas menjadi faktor utama sesuatu ibadah diterima Allah SWT. Setiap individu Muslim perlu memahami makna keikhlasan yang sebenarnya supaya boleh melakukan amalan tanpa sia-sia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab (al-Quran) kepadamu (Nabi Muhammad) dengan hak. Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya." (Surah al-Zumar: 2)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa paras dan hartamu, tetapi Dia hanya melihat hati dan amalmu." (Riwayat Muslim)

Ketiga, kepatuhan terhadap arahan ibu bapa. Kewajiban untuk mentaati arahan dan suruhan orang tua iaitu ibu bapa sekalipun tidak beriman kepada Allah SWT dengan menuruti nasihat dan perintah selagi membawa kepada kebaikan dan tidak melanggar larangan Allah SWT.

Kewajipan menjaga dan berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapa adalah kewajipan dan tanggungjawab anak-anak. Ada pelbagai ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibu bapa serta adab yang perlu dijaga.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Isra': 23)

Keempat, mengutamakan melaksanakan perintah Allah SWT. Setiap invidu Muslim perlu mendahulukan perintah Allah SWT kerana rasa cinta dan kasih kepada-Nya mengatasi kecintaan terhadap dunia dan keluarga.

Al-Marhum al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Aulawiyat menjelaskan bahawa segala hukum-hakam, amal dan nilai dalam Islam terikat dengan fiqh keutamaan yang didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-Ku, yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang yang mempunyai akal." (Surah al-Zumar: 17-18)

Kelima, mencontohi ketaatan Nabi Ibrahim AS bersama keluarga tercinta. Masyarakat Islam perlu meneladani kehidupan keluarga bahagia Nabi Ibrahim AS yang dibina atas dasar keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT sehingga akhirnya dapat menuju syurga Allah secara bersama-sama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapa-bapa mereka dan isteri-isteri mereka dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Ghaafir: 8)

Demikian pengajaran dan pelajaran daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS bersama ahli keluarga tercinta sebagai teladan yang boleh dicontohi dalam kehidupan.

Sewajarnya kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS bersama ahli keluarga perlu dijadikan sebagai sumber inspirasi dan motivasi untuk membentuk sebuah keluarga bahagia hingga ke syurga yang sentiasa berada dalam reda Allah SWT.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 6:00 AM