Mohd Shahrizal Nasir

Rahmat adalah perkataan bahasa Arab yang sering digunakan dalam masyarakat kita. Biasanya, kita dengar ada yang cakap ketika hujan: “Ini hujan rahmat.”

Secara umumnya, ia boleh difahami rahmat Allah SWT bererti kasih sayang-Nya. Tiada satu makhluk di dunia ini hidup tanpa rahmat Allah SWT.

Haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang hidup juga menerima rahmat Allah SWT. Apatah lagi manusia, semuanya mendapat rahmat Ilahi sama ada beriman atau sebaliknya.

Hanya dengan rahmat Allah SWT, manusia dapat hidup di dunia dengan merasai segala keindahan dan kenikmatan.

Kalau itulah sunnatullah terhadap setiap makhluknya, maka kehidupan kita sebagai seorang Muslim, kita sangat bergantung kepada rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga. Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah? Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.”

Hadis itu menjelaskan setiap amalan yang dilakukan seorang Muslim tidak menjamin dirinya masuk ke dalam syurga.

Amalan baik yang dilakukan bukan semata-mata tiket untuk melayakkan diri menjadi penghuni syurga. Semuanya bergantung kepada rahmat Allah SWT.

Meskipun Rasulullah SAW manusia paling istimewa di sisi Allah SWT, Baginda dimasukkan ke syurga dengan sebab rahmat daripada Allah SWT.

Dalam al-Quran, perkataan ‘rahmat’ membawa beberapa makna. Antaranya, rahmat dimaksudkan dengan Islam. Hidayah Allah SWT yang dikurniakan kepada hamba-Nya untuk berpegang kepada ajaran Islam adalah satu rahmat buat manusia.

Hakikatnya, tidak semua manusia mendapat rahmat itu. Bagi kita yang terpilih dan dilahirkan sebagai seorang Islam adalah satu rahmat Ilahi yang perlu disyukuri setiap masa.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu), akan tetapi Allah (tidak merancang yang demikian bahkan Dia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya (Islam) dan orang yang zalim tidak ada baginya sesiapa pun yang dapat memberi perlindungan dan pertolongan.” (Surah al-Shura, ayat 8)

Perkataan ‘rahmat’ dalam al-Quran juga membawa makna syurga iaitu tempat istimewa bagi golongan hamba-Nya yang berjaya.

Seperti yang dijelaskan dalam hadis, Rasulullah SAW dijanjikan syurga dengan rahmat Allah, maka bagaimana pula dengan kita semua?

Firman Allah SWT bermaksud: “Adapun orang yang putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (syurga), mereka kekal di dalamnya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 107)

Bagaimana untuk memperoleh rahmat daripada Allah SWT? Beberapa perkara perlu diusahakan, antaranya sentiasa mendekati al-Quran dan berusaha menurut segala ketetapan Allah SWT yang terkandung di dalamnya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ini sebuah kitab (al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.” (Surah al-An’am, ayat 155)

Selain itu, meninggalkan perbuatan mungkar. Orang yang melakukan kerosakan dan kemungkaran di atas dunia adalah golongan yang ingkar.

Golongan seperti itu tidak akan memperoleh rahmat Allah selagi tidak berubah. Tidak melakukan kerosakan saja masih tidak cukup kerana perlu berusaha memperbaiki amalan.

Itu mencerminkan sifat golongan ‘muhsinin’ yang akan sentiasa dekat dengan rahmat Allah SWT. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf, ayat 56)

Seterusnya, sentiasa meningkatkan keimanan dan berusaha meninggalkan keburukan. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah golongan yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 11:56 AM