GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Shahrizal Nasir

Umat Islam baru sahaja menyambut Aidiladha bagi 1444 Hijri. Aidiladha satu daripada dua hari kebesaran bagi umat Islam. Allah SWT menganugerahkan dua hari raya agar umat Islam mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta mengagungkan Allah SWT. Bagi Aidiladha, ia membawa kita untuk kembali mengingati peristiwa besar yang berlaku dalam kehidupan seorang hamba Allah SWT bernama Ibrahim dan anaknya, Ismail.

Kedua-dua insan hebat ini sanggup dengan penuh kerelaan hati meletakkan perintah Allah SWT melebihi kepentingan peribadi. Mereka berdua melaksanakan perintah Allah SWT hanya untuk menzahirkan ketaatan kedua-duanya sebagai hamba kepada Tuhannya.

Nabi Ibrahim AS juga termasuk dalam kalangan hamba yang disayangi oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya." (Surah an-Nisa' ayat 125)

Nabi Ibrahim ikon yang mesti dijadikan contoh bagi menzahirkan pengorbanan diri hanya untuk memperoleh keredaan Allah SWT. Nabi Ibrahim seorang rasul yang diuji dengan keperluan berdakwah bukan saja kepada orang ramai, baginda diperintah berdakwah kepada ayahnya sendiri.

Keadaan Nabi Ibrahim sebagai seorang anak tidak menjadi penghalang untuk baginda menyampaikan dakwah termasuk kepada ayahnya sendiri. Baginda menggunakan strategi dakwah yang sangat beradab kerana kedudukannya sebagai seorang anak, namun pada masa sama tetap menggalas tanggungjawab untuk menyeru manusia termasuk bapanya agar mentauhidkan Allah SWT.

"Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya. Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab daripada (Allah) ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi syaitan di dalam neraka." (Surah Maryam ayat 44-45)

Begitulah pengorbanan seorang anak yang ingin membawa ayahnya bersama-sama ke syurga Allah SWT. Nabi Ibrahim menunjukkan contoh orang yang bergelar anak juga berperanan menjalankan kerja dakwah hatta kepada orang yang lebih tua daripadanya termasuk bapanya sendiri.

Selain itu, Nabi Ibrahim menunjukkan pengorbanannya sebagai seorang hamba yang bersabar dengan ketetapan Ilahi. Baginda yang agak lewat dikurniakan zuriat tidak pernah jemu memohon doa kepada Allah SWT. Baginda mengetahui bahawa tugas seorang hamba ialah memohon hanya kepada-Nya kerana hanya Dialah yang berkuasa memakbulkan setiap harapan seorang hamba.

Akhirnya Allah SWT memakbulkan hajat Nabi Ibrahim dengan mengurniakan zuriat kepada baginda. Hal ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada kalangan orang yang soleh." Lalu Kami (Allah) berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar." (Surah as-Saffat ayat 100-101)

Berkat kesabaran dan pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menerima takdir Allah SWT melayakkan dirinya terus menerima rahmat yang sangat besar. Bagaimanapun, Nabi Ibrahim terus perlu mendepani ujian dalam kehidupan. Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim membawa anak dan isterinya agar berhijrah ke Makkah. Makkah pada ketika itu kawasan yang sangat asing bagi mereka, namun perintah berkenaan tetap dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim sebagai tanda ketaatannya kepada Allah SWT yang mengurniakan banyak nikmat kepadanya.

Doa Nabi Ibrahim dimaktubkan dalam al-Quran: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur." (Surah Ibrahim ayat 37)

Meskipun kehidupan Nabi Ibrahim sekeluarga diuji oleh Allah SWT dengan sangat hebat, baginda tetap istiqamah mentaati setiap perintah yang datang daripada Allah SWT. Ujian yang perlu baginda lalui tidak sedikit pun dijadikan alasan untuknya mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini.

Nabi Ibrahim berdoa agar baginda serta zuriat keturunannya diberi kekuatan untuk terus tunduk menyembah Allah SWT yang Maha Esa. Ini seperti dirakamkan dalam al-Quran tentang doa Nabi Ibrahim yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku." (Surah Ibrahim ayat 40)

Kemuncak kepada pengorbanan Nabi Ibrahim adalah apabila baginda diperintahkan untuk mengorbankan anak kesayangannya iaitu Nabi Ismail. Ujian yang baginda lalui sebelumnya dilihat cukup hebat, namun baginda terus diuji supaya benar-benar dapat memberi teladan kepada manusia lain betapa ujian dalam kehidupan tidak akan terhenti untuk menjadikan diri benar-benar mengakui keagungan Allah SWT.

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: 'Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu maka fikirkanlah apa pendapatmu?…'" (Surah as-Saffat ayat 102)

Ujian yang berat ini dilalui oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dengan penuh ketaatan tanpa berbelah bahagi. Hati mereka penuh yakin bahawa ujian Allah SWT pasti hadir dengan iringan rahmat daripada-Nya. Apabila Nabi Ibrahim mampu menunjukkan pengorbanan kerana Allah SWT, baginda dianugerah anak yang juga sabar mendepani ujian daripada-Nya.

"… Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada kalangan orang yang sabar." (Surah as-Saffat ayat 102)

Begitulah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail dalam menyahut perintah Allah SWT.

Kedua-duanya utusan Allah SWT yang kehidupan mereka mesti dijadikan contoh ikutan. Jauh sekali untuk mengorbankan anak sendiri, tetapi kisah ini menunjukkan ujian yang diberikan kepada mereka berdua sangat besar dan mampu bersabar mentaati-Nya.

Tidak ada manusia yang akan diuji dengan ujian berat seumpama itu. Namun pengajarannya, setiap ujian yang dilalui oleh sesiapa sahaja di dunia ini pasti mampu dihadapi kerana Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mendahului kita dengan ujian yang cukup berat.

Sesungguhnya kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam mentaati perintah Allah SWT patut dijadikan teladan kerana diiktiraf oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah daripada kalangan orang musyrik." (Surah ali Imran ayat 67)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 6:00 AM