MAZHAB Imam Hanafi tersebar dan menjadi ikutan paling ramai di serata dunia seperti Mesir, Turkiye, Syria, Iraq, India, Pakistan, Rusia dan China.
MAZHAB Imam Hanafi tersebar dan menjadi ikutan paling ramai di serata dunia seperti Mesir, Turkiye, Syria, Iraq, India, Pakistan, Rusia dan China.
Oleh Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Baru-baru ini ada seorang individu kelahiran Syria dilihat merendah-rendahkan keilmuan seorang ulama besar mujtahid iaitu Imam Abu Hanifah RH.

Saya berasa sangat terpanggil untuk meluruskan pemikiran individu berkenaan yang dilihat berada dalam kejahilan dan kekeliruan minda, namun gemar membicarakan soal agama.

Untuk makluman pembaca, ini bukan kali pertama individu berkenaan mengutuk ilmuwan Islam tersohor malah beliau dilihat sudah beberapa bersikap biadab.

Namun masih lepas serta bebas melakukan kenyataan agama yang batil tanpa tindakan tuntas daripada pihak berkuasa.

Imam Abu Hanifah antara empat imam mazhab terkemuka bersama-sama dengan Imam asy-Syafii RH, Imam Malik RH dan Imam Ahmad bin Hanbal RH.

Sebenarnya keilmuan Imam Abu Hanifah ini tidak perlu dipersoalkan lagi. Malah Imam asy-Syafie pernah menukilkan bahawa sesiapa yang ingin mendalami ilmu maka dia bergantung kepada Abu Hanifah dalam bidang fiqh berdasarkan kepada kitab Siyar A'lam al-Nubala'.

Dalam riwayat yang lain, Imam al-Muzani mendengar gurunya iaitu Imam asy-Syafie berkata: "Manusia bergantung kepada Abu Hanifah dalam manhaj qiyas dan istihsan."

Tindakan individu berketurunan Arab berkenaan merendahkan Imam Abu Hanifah jelas memperlihatkan kerendahan akhlaknya apabila hampir semua ilmuwan Islam memperakui keupayaan Imam Abu Hanifah daripada sudut keilmuan, ketokohan dan akhlaknya.

Dalam kitab ath-Thabaqat As-Saniyyah fi Tarajim al-Hanafiyyah dinyatakan bermaksud: "Daripada Abu Muthi' al-Balkhi, bahawa Sufyan bin Uyainah, Muqatil bin Hayyan, Hammad bin Salamah dan ulama lain daripada kalangan ahli fiqh masa itu melakukan perjumpaan.

"Mereka berkata: "An-Nu'man (Abu Hanifah) ini mengaku faham fiqh, padahal di sisinya hanya qiyas. Mari datangi dia dan kita akan mendebatnya dalam masalah ini.

"Jika dia katakan bahawa itu hasil qiyas, maka kita katakan kepadanya: "Apakah dirimu menyembah qiyas-qiyas? Dan orang yang pertama kali melakukan qiyas adalah Iblis, semoga Allah melaknatnya. Iblis berkata (sebagaimana dalam firman Allah yang ertinya): "Engkau menciptakan aku daripada api dan Engkau menciptakan Adam daripada tanah."

Kemudian mereka berdebat dengan Abu Hanifah pada hari Jumaat di Masjid Jamik Kufah. Abu Hanifah pun menyampaikan pandangan mazhabnya kepada mereka.

Maka kemudian mereka berkata: "Engkau adalah pemimpin golongan ulama. Maafkan kami. Kami mencela anda tanpa pengujian dan melakukan pertimbangan."

Pada kurun kedua Hijrah, muncul perselisihan ilmiah yang masyhur di antara aliran Ahl al-Hadith yang mengutamakan hadis dalam pendalilan hukum dan aliran Ahl ar-Ra'yi yang menggunakan ijtihad dalam memahami nas syarak. Pergeseran antara dua aliran ini cukup sengit hingga ada yang menuduh pihak lawan dengan tohmahan yang tidak benar.

Aliran Ahl ar-Ra'yi dipelopori oleh Imam Abu Hanifah yang dilahirkan di Kufah pada 80H dan meninggal dunia di Baghdad pada 150H. Nama sebenar Abu Hanifah ialah an-Nu'man bin Thabit bin an-Nu'man atau Zuta al-Kufi, berketurunan Parsi.

Beliau tokoh mujtahid Islam yang terkenal mengasaskan mazhab Hanafi. Mazhab beliau tersebar dan menjadi ikutan paling ramai di serata dunia seperti Mesir, Turki, Syria, Iraq, India, Pakistan, Rusia dan China.

Bilangan keseluruhan gurunya dikatakan seramai 4,000 orang. Beliau mula mengajar dan mengambil alih tempat gurunya, Hammad bin Abi Sulaiman hanya setelah kewafatannya iaitu pada 120H ketika berusia 40 tahun.

Melihat sumbangan besar beliau dalam bidang fiqh adalah amat sukar diterima kritikan liar yang mendakwa beliau lemah dalam bidang hadis.

Jika kurang memberi fokus terhadap hadis, nescaya beliau tidak akan mampu mengistinbatkan banyak hukum fiqh berdasarkan hadis. Adapun tentang sedikit riwayat hadisnya, ia sama sekali tidak menunjukkan sedikitnya hadis yang beliau ketahui. Ini kerana fokus utama beliau ialah mengistinbatkan hukum daripada hadis dan bukan meriwayatkannya.

Dikatakan, persoalan fiqh Imam Abu Hanifah mencapai jumlah lebih 500,000 masalah. Jumlah ini bertepatan dengan apa yang dicatatkan dalam kitab al-Wasiyyah bahawa beliau meriwayatkan sebanyak 500,000 hadis.

Kesimpulannya, Imam Abu Hanifah adalah seorang tokoh ulama Islam yang disanjung kesarjanaannya dulu, kini dan akan datang. Mazhabnya diikuti jutaan manusia seluruh dunia dan tidak boleh dipadam dengan mana-mana pendapat atau kritikan biadab daripada mana-mana pihak.

Namun, demi menjaga nama baik ulama dan sumbangannya pada dunia Islam, amat wajar individu berkenaan yang dilihat merendah-rendahkan ketokohan ilmuwan Islam ini dikenakan tindakan yang tegas. Kita seharusnya memegang teguh prinsip serta manhaj Ahli Sunah Waljamaah dalam mendepani kepelbagaian doktrin ekstrem dan sesat.

Penulis Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 7:01 AM