AL-QURAN diturunkan bersama-sama dengan syariah yang merangkumi tuntutan akidah, ibadat, muamalat dan akhlak. FOTO Arkib NSTP
AL-QURAN diturunkan bersama-sama dengan syariah yang merangkumi tuntutan akidah, ibadat, muamalat dan akhlak. FOTO Arkib NSTP
Dr Muhammad Yusry Affandy Md Isa al Hafiz

Al-Quran diturunkan bersama-sama dengan syariah yang merangkumi tuntutan akidah, ibadat, muamalat dan akhlak. Syariah seterusnya berperanan melahirkan ilmu fiqh yang menjadi sebuah panduan berharga buat umat Islam. Imam-imam  mujtahid  terkenal seperti Imam Abu Hanifah (wafat 150 Hijrah), Imam Malik bin Anas (wafat 179 Hijrah), Imam Muhammad bin Idris al-Shafi'i (wafat 204 Hijrah) dan Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241 Hijrah) menjadi pelopor awal dalam menyusun ilmu fiqh. Mereka mengasaskan mazhab fiqh berpaksikan al-Quran yang paling berpengaruh dalam dunia Islam.

Asas ilmu fiqh, akidah dan tasawuf sudah tersedia di dalam al-Quran dan al-Sunnah pada zaman awal perkembangan Islam. Rasulullah SAW menyampaikan dalam bentuk rangkuman ilmu tersebut dan juga ilmu yang lain. Ilmu-ilmu ini boleh dikembangkan umat Islam berdasarkan disiplin agama.

Ilmu aqidah dikenali sebagai ilmu teras keimanan, ilmu tasawuf dikenali sebagai teras akhlak dan ilmu fiqh dikenali sebagai teras syariat. Pada peringkat awal perkembangan Islam, ilmu fiqh dan cabang ilmu yang lain belum lagi tersusun. Ini disebabkan keperluan dan permasalahan belum banyak berlaku. Rujukan literal al-Quran dan al-Sunnah sudah memadai untuk menjawab beberapa polimek yang timbul ketika itu.

Ilmu fiqh yang tepat adalah berasaskan kepada sumber syariah iaitu al-Quran dan   al-Sunnah. Selain itu, sumber sampingan yang disepakati ulama ialah  ijmak dan  qiyas. Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili (wafat 2015) di dalam karya  al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, sumber yang diperselisih ialah 'urf,  al-istishab,  al-istihsan,  al-masalih al-mursalah,  shar'u man qablana  dan al-qaul al-sahabi.

Meskipun al-Quran merupakan sumber asas syariah tetapi al-Quran mengandungi hukum yang berbentuk umum dan ringkas seperti perintah solat, zakat,  qisas, jual beli dan larangan riba. Keadaan ayat tidak mengandungi perihal perlaksanaan dan memerlukan sumber ilmu sokongan iaitu al-Sunnah dan kaedah pengeluaran hukum fiqh. Biarpun demikian, dalam pada itu al-Quran tetap memperincikan sesetengah masalah seperti hukum kekeluargaan dan perundangan tertentu.

Nas al-Quran dan al-Sunnah serta simpulan hukum dalam pelbagai aspek seperti ibadat, muamalat, kekeluargaan, sosial, politik dan kenegaraan adalah mempunyai tujuan (maqasid) dalam setiap yang disyariatkan sama ada perintah, larangan atau dalam membenarkan sesuatu perkara. Tokoh fiqh dunia Islam, Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menegaskan Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu secara kebetulan tetapi mensyariatkan untuk suatu hikmah yang mempunyai rahmat dan kebaikan terhadap manusia. Adalah menjadi suatu kecacatan dalam mempelajari nas syarak tetapi tidak mahu memahami matlamat pensyariatan.

Terdapat dalil dalam al-Quran yang memperlihatkan keperluan merujuk kepada ulama dalam memahami hukum syarak termasuk hukum fiqh. Firman Allah yang bermaksud: " Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berilmu dan berkuasa) di antara mereka tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)." (Surah al-Nisa' ayat 83)

Ilmu fiqh lahir daripada penelitian yang rapi terhadap al-Quran. Fuqaha mendefinisikan ilmu fiqh sebagai perbuatan mempelajari hukum-hukum syarak daripada kitab fiqh yang mengaplikasikan dalil al-Quran, al-Sunnah,  ijmak  dan ijtihad ulama. Ilmu ini signifikan sebagai wadah pengeluar hukum-hukum Allah SWT yang sedia ada dan sandaran hujah untuk hukum-hukum baharu rentetan sifat fleksibiliti al-Quran sepanjang zaman. Hukum-hukum seperti wajib, sunat, haram, makruh dan harus adalah hasil ilmu fiqh.

Kalimah fiqh turut sinonim dengan takrifan sebagai ilmu untuk mengetahui atau memahami hukum-hukum syarak melalui jalan ijtihad. Contohnya mengetahui niat ketika wuduk adalah wajib, solat witir adalah sunat, berniat pada waktu malam adalah syarat sah puasa bulan Ramadan dan sebagainya. Ulama mensyaratkan untuk merintis pengetahuan terhadap hukum-hukum ini perlu dilakukan melalui kajian dan ijtihad terhadap dalil-dalil syarak yang terdapat dalam al-Quran. Justeru, sebahagian ulama mentakrifkan fiqh sebagai "mengetahui hukum-hukum syarak yang amali dengan berdalilkan daripada dalil-dalil yang menyeluruh (tafsili) atau terperinci (juz'i)." 

Hukum syarak yang diperoleh dinamakan 'fiqh'. Terma seterusnya orang yang mempunyai keilmuan mendalam dinamakan 'faqih' sama ada ia memperolehinya dengan cara ijtihad atau  taqlid. Imam al-Suyuti (wafat 911 Hijrah) berpendapat ilmu fiqh dapat dimanfaatkan individu yang  faqih. Ia mempunyai pengetahuan terhadap dalil dan mampu melakukan kesesuaian terhadap himpunan pendapat fiqh yang luas. 

Tokoh fiqh Iraq, Dr 'Abd al-Karim Zaidan (wafat 2014 Masihi) menyebut kekeliruan terhadap hukum zahir al-Quran boleh berlaku apabila tidak memahami realiti ilmu fiqh. Ini disebabkan sebahagian hukum al-Quran akan berubah mengikut situasi dan zaman. Bagi mengelak salah faham terhadap wahyu, syarak menekankan bahawa mempelajari ilmu fiqh adalah wajib bagi konteks untuk memahami hukum-hukum al-Quran dan merupakan tuntutan fardu kifayah bagi umat Islam. Tuntutan ini berdasarkan kaedah fiqh "tidak sempurna perkara yang wajib melainkan dengan sesuatu yang turut wajib disebabkannya."

Mustahil ilmu fiqh yang menjadi satu kewajipan untuk difahami umat Islam perlu dipisahkan hubungan dengan al-Quran. Begitu juga mustahil al-Quran yang wajib difahami dipisahkan dengan ilmu fiqh. Al-Quran mempunyai susunan ayat yang memerlukan huraian dan penjelasan hadis atau tafsiran ulama muktabar. Huraian fiqh amat diperlukan bagi merungkai pelbagai latar ayat al-Quran seperti ayat yang bersifat umum, menyeluruh dan mansukh. Kaedah  Usul al-Fiqh  dan fiqh akan digunakan oleh ahli ilmu yang berkelayakan supaya 'eksperimen' berjalan dengan penuh absah.

Al-Quran dan fiqh perlu saling dikaitkan untuk menjayakan syariat. Penyelidikan ilmu fiqh yang tepat pasti akan menonjolkan kehebatan ilmu al-Quran. Fuqaha' dan ahli tafsir meraih pahala yang cukup besar kerana dapat membantu menerangkan hukum wahyu terhadap umat Islam. Natijah ilmu fiqh yang berdasarkan intipati al-Quran, al-Sunnah,  ijmak, qiyas  dan ijtihad ulama amat mustahak dalam mempertahan dan memperteguhkan syariat Islam daripada anasir yang berlawanan dengan kehendak Allah SWT.

Dalam kalangan umat Islam, terdapat aliran yang cuba memisahkan antara al-Quran dan fiqh. Kedua-dua bentuk aliran ini adalah melampau dan boleh mengheret pengikut ke lembah kekufuran. Contoh aliran yang hanya bergantung pada teks al-Quran ialah seperti liberalisme, kerohanian batil dan Wahhabi. Masing-masing mempunyai metodologi pemahaman yang berlainan, tetapi sama dari segi tabiat gemar mengikuti literal ayat. 

Aliran-aliran yang dinyatakan tadi merupakan contoh golongan yang gagal memahami interaksi antara al-Quran dan fiqh. Bahkan mereka juga gagal memanfaatkan beberapa sumber ilmu dan kaedah hukum dalam Islam. Sememangnya kembali kepada al-Quran adalah suatu tuntutan namun dalam memahaminya menuntut umat untuk mencari bantuan ilmu seperti fiqh yang juga diamanahkan Allah dan Rasul-Nya.

Penulis Pensyarah kanan, fakulti pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 7:00 AM